Thursday, 17 September 2009

Budaya Ilmu Umat Islam: Dulu dan Kini


Berikut ialah kertas kerja utama Seminar Pemerkasaan Ilmu Kolej Darul Hikmah April 2009:

Budaya Ilmu: Ke Arah Pemerkasaan Ummah

Mat Rofa bin Ismail
Jabatan Matematik, UPM
(mrofa@yahoo.com)


Abstrak


Kertas ini merupakan pandangan peribadi penulis berkaitan cadangannya ke arah pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat Islam dengan menyorot kembali pencapaian umat Islam terdahulu. Ciri yang dimiliki generasi Islam terdahulu dibandingkan dengan suasana umat Islam kontemporari. Beberapa persoalan dan cadangan dikemukakan untuk renungan bersama. Kertas ini turut mengaitkan kecemerlangan ilmu dengan indeks akhlak yang ditunjukkan oleh masyarakat.


Pendahuluan

Islam sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Ilmu diikat dalam kesepaduan yang padu. Ilmu berfungsi untuk mengenali serta menghayati kebenaran. Ilmu wahyu menduduki hirarki yang tertinggi dalam epistemologi ilmu. Ilmu dikelaskan kepada ilmu nakli dan ilmu akli. Ilmu juga dikelaskan fardu ain dan fardu kifayah mengikut kepentingan yang ditentukan Islam. Ada pelbagai kaedah pengelasan dalam tradisi keilmuan Islam.
Menurut al-Ghazali, ilmu dikelaskan kepada dua kategori iaitu ilmu syariah dan bukan syariah. Ilmu syariah hanya diperoleh menerusi wahyu tetapi ilmu bukan syariah mempunyai pelbagais sumber akal, pemerhatian, percubaan atau pengalaman manusia. Matematik misalnya ilmu yang terbit daripada pemikiran akal manusia sedangkan akal pula anugerah Ilahi yang mulia kepada manusia. Ilmu perubatan diperoleh menerusi pemerhatian dan ujikaji, manakala ilmu bahasa diperoleh menerusi pendengaran. Menurut al-Ghazali lagi, ilmu bukan syariat terbahagi kepada tiga juzuk yang lain: harus, terpuji dan dikeji. Matematik dan perubatan, merunut al-Ghazali ialah dua contoh ilmu yang terpuji dalam kategori ini.
Sejarah keagungan budaya ilmu tamadun Islam sangat mengkagumkan. Dalam masa satu kurun selepas pembukaan balai ilmu Dar al-Hikmah, kegiatan ilmu menjadi kegiatan yang sangat besar di seluruh wilayah Islam. Pusat pengajian kuttab untuk kanak-kanak hinggalah kolej dan universiti untuk pelajar dewasa terbina di merata tempat. Kajian sains tabii dalam optik,kimia, fizik, geologi dan seumpamanya mengambil tempat yang dipelopori oleh ramai ilmuwan Islam. Mereka mengembangkan sains emperikal serta ujikaji makmal. Sains emperikal dimulakan oleh Jabir Ibn Hayyan, al-Razi, Ibn al-Haitham, dan angkatannya.
Pada kurun ke-4 Hijrah, banyak bidang ilmu syariah dan bukan syariah yang berkembang secara mendalam dalam tamadun Islam. Karya dan tulisan ilmuwan Islam tersebar meluas dalam halakah pengajian di masjid atau kolej. Ilmu yang pelbagai harus dikelaskan mengikut kepentingannya. Pengelasan ilmu dalam epistimelogi ilmu Islam yang tersebut menjadi satu bidang ilmu asas kemudiannya yang dikenali sebagai ihsa al-ulum atau maratib al-`ulum. Epistemologi bermaksud ilmu tentang pengelasan ilmu. Antara pengulas bidang ini termasuk al-Kahwarizmi al-Katib, al-Farabi, Imam al-Ghazali, al-Ikfani, Ibn Khaldun dan lain-lain.
Pengelasan al-Ghazali disahkan pula oleh Ibn Khaldun. Ibn Khaldun membuat pengelasan ilmu secara keseluruhannya kepada dua kategori iaitu ilmu yang bersumberkan wahyu dan ilmu yang bersumberkan indera dan akal. Ilmu falsafah termasuk dalam kategori yang kedua. Ilmu ini terbahagi kepada mantic, sains, matematik dan ketuhanan. Dalam pengelasannya yang berkaitan, Ibn Khaldun turut m,emperincikan bahawa matematik dan mantik termasuk pula dalam kategori ilmu hikmah. Tujuh cabang ilmu hikmah menurut Ibn Khaldun ialah mantic, aritmetik, geometri, astronomi, muzik, sains dan ketuhanan.


Kecintaan Ilmu

Suri teladan yang ditunjukkan para ulama tentang kecintaan mereka terhadap ilmu harus menjadi renungan kita bersama. Imam al-Sayafii ra umpamanya, menghabiskan malamnya menerusi tiga perkara: ilmu, ibadah dan tidur. Imam besar itu memperuntukkan sepertiga malamnya untuk ilmu. Dalam bulan Ramadan, beliau membaca al-Qur’an 60 kali, kesemuanya dalam solat.[1] Imam Malik ra sangat memuliakan ilmu. Sebelum memberi kuliah ilmu, beliau berwuduk, memakai pakaian yang baik dengan haruman, lalu duduk dengan penuh takzim untuk membaca hadith dan sebagainya sebagai penghormatan hadith saw. Ilmu perlu didatangi, bukan mendatangi pelajar, menurut Imam itu. Apabila Khalifah meminta beliau mengajar anaknya di istana, beliau menolak, dan meminta anak Khalifah hadir ke masjid seperti pelajar yang lain. Imam Abu Hanifah ra menghabiskan seluruh malamnya untuk ibadat termasuk kegiatan ilmu. Beliau menyebarkan ilmu penuh keikhlasan tanpa mengharapkan kelebihan dunia. Suatu ketika, beliau diminta untuk dilantik sebagai pegawai undang-undang Baitul-Mal, namun beliau menolak, lalu dirotan dengan 20 kali sebatan. Pada ketika yang lain, Imam Abu Hanifah dikurniakan 10,000 dirham oleh Khalifah kerana kegiatan ilmunya, lalu diwasiatkan agar wang itu dikembalikan semula selepas kematiannya.[2] Demikian pula Imam Ahmad ibn Hambal ra yang pernah dipenjarakan kerana perinsip ilmunya. Kecintaan ilmu di kalangan ulama silam berkait rapat dengan tujuan ilmu dituntut sebagai ibadah yang ikhlas kepada Allah swt.
Ayat al-Qur’an yang pertama diturunkan kepada Junjungan saw agar membaca dengan kalimah Ilahi. ”Bacalah, dengan Nama Tuhan-Mu” (al-`Alaq, 1). Di atas prinsip inilah ilmu berkembang dalam budaya Islam sejak zaman berzaman. Ilmu dituntut dan dikaji dengan Kalimah Ilahi secara ikhlas. Penulisan dilakukan di atas perinsip yang sama. Kecintaan ilmu di kalangan ummat yang awal menjadi saksi kepada keagungan tamadun Islam zaman kegemilangannya.
Kecintaan ilmu bukan sahaja ditunjukkan oleh ulama yang terlibat dengan ilmu warisan Islam yang asas, tetapi sifat yang sama ditunjukkan oleh ilmuwan Muslim dalam bidang kepakaran bukan syariah yang lain. Al-Farabi misalnya menggambarkan peribadi yang benar-benar mencintai ilmu yang diceburinya, iaitu falsafah. Cara hidup al-Farabi ialah simbol ahli falsafah sejati yang kehidupannya menggambarkan maksud ahli falsafah. Hampir keseluruhan hayatnya digunakan dalam pengembaraan ilmu. Beliau dilahirkan di Turki tetapi mengambara ke merata tempat dalam kajian ilmunya termasuk Bukhara, Mesir, Damsyik dan Baghdad. Ayahnya, seorang komander tentera berpindah dari Turki ke Turkishtan. Beliau memilih cara hidup yang zuhud walaupun beliau mampu hidup mewah. Beliau pernah bekerja sebagai tukang kebun serta mempunyai pakaian yang lusuh dan compang camping. Beliau pernah dilantik menjadi kadi tetapi jawatan itu dipegangnya sekejap sahaja. Al-Farabi sangat berminat ilmu tasawwuf dan beliau pernah berguru dengan Ab Bakar al-Syazili dan Abu Mansur al-Halaj.
Khalifah memberikan gaji yang lumayan di atas khidmatnya tetapi beliau hanya menerima 4 dirham sahaja untuk keperluan paling asas. Al-Farabi menolak segala bentuk kemewahan. Kehidupannya penuh lambang kecintaan ilmu sebab beliau berkecimpung dalam bidang falsafah sedangkan maksud falsafah ialah “kecintaan mendalam terhadap ilmu”. Ilmu dikaji secara sukarela, ikhlas serta penuh kecintaan ke arah mencari kebenaran. Al-Farabi dikatakan menguasai 70 bahasa dan dialek walaupun ada pula penulis yang mempertikaikan kebolehan ini. Beliau tidak pernah rasa kelewatan mempelajari sesuatu bahasa yang baharu bahkan beliau mempelajari bahasa Arab pun apabila umurnya menjelang 40 tahun, namun beliau kemudiannya menghasilkan pelbagai tulisan dalam bahasa Arab. Guru kesusasteraan Arabnya ialah sasterawan terkenal al-Mutanabbi. Sesungguhnya beliau dianugerah kebolehan mempelajari ilmu dengan cepat. Bahkan diriwayatkan semua bahasa yang dikuasai itu dipelajarinya selepas beliau berusia 40 tahun. Susungguhnya tiada had umur untuk mempelajari sesuatu ilmu yang baharu. Al-Farabi berkecimpung selama 40 tahun kemudiannya sehingga beliau meninggal dunia ketika berusia 80 tahun di Damsyik. Beliau hidup membujang sampai ke akhir hayatnya.
Apabila beliau membaca atau menulis, beliau lakukan dengan penuh kesungguhan. Sebagai contoh, al-Farabi membaca buku de Anima (atau Kitab al-Nafs) Aristole seratus kali berulang-ulang untuk menghadami maksud tersurat dan tersirat buku tersebut. Demikian pula beliau membaca buku Physics (al-`Ulum al-Tabi`iyyah) oleh pengarang yang sama sebanyak 40 kali berulang-ulang. Beliau membaca, memahami, menganalisis dan menapis ilmu Yunani dalam acuan fikirannya pula.
Kehidupan ilmuawan Islam zaman kegemilangan mengambarkan kehidupan penuh kecintaan ilmu, penuh dedikasi untuk ilmu. Ibn Sina misalnya, pernah menyatakan bahawa beliau “lebih suka mempunyai usia yang pendek tetapi sumbangan yang melebar, berbanding usia yang panjang tetapi sumbangan yang tirus”. Ibn Sina sangat mencintai ilmu. Kekuatan hafalannya sangat membantu penguasaan ilmu yang pelbagai dan menyeluruh. Sebelum musafir, beliau mencari lembaran kertas untuk menulis mendahulu bekalan makananannya. Dalam penjara, sebelum diberi makanan, beliau memohon untuk mendapatkan peralatan tulis terlebih dahulu. Akal inteleknya sentiasa diberikan perhatian mendahului keperluan fizikalnya. Beliau membaca sebuah buku berpuluh-puluh kali ulangan sehingga beliau menghafalnya. Beliau merenungi peristiwa secara mendalam dan sekiranya beliau menghadapi masalah, beliau berlari ke masjid untuk bersembahyang sunat. Menurut Ibn Sina:
Apabila saya menghadapi masalah ilmu, saya segera ke masjid lalu bersembahyang, berdoa secara bersungguh-sungguh kepada Pencipta Segala Alam, hingga terbuka masalah yang tersimpul tadi. Biasa pula apabila saya pulang ke rumah, saya pasangkan lampu, lalu mentalaah buku serta menulis … sehingga saya mengantuk lalu tidur dengan membawa masalah yang sedang difikirkan ke dalam tidur. Acap kali pula apabila mimpi awal berlaku, maka penyelesaiannya diperoleh dalam mimpi tersebut.[3]
Kesungguhan Ibn Sina dalam penerokaan ilmu menjadi contoh dan suri teladan bagi pelajar semua. Kegiatan ilmunya bermula di rumahnya sendiri. Ilmu pertama yang diajar oleh ayahnya ialah al-Qur’an dan ilmu warisan Islam yang asas. Selepas itu ilmu matematik dan falsafah diajar pula oleh guru yang mahir. Beliau kemudiannya mempelajari ilmu perubatan ketika usianya masih remaja serta menghasilkan al-Qanun fi al-Tibb karya agung dalam bidang perubatan. Beliau sangat tekun membaca karya dalam pelbagai bidang. Ketika itu, karya sains bukan mudah untuk diperoleh kecuali menerusi pengembaraan ke pusat ilmu tertentu. Beliau dengan gigih melakukan pengembaraan ilmu. Pertolongan Ilahi menjadi pegangan hidup peribadi besar itu. Beliau berfikir dan terus berfikir tentang ilmu yang dipelajarinya tanpa jemu-jemu.
Pada suatu ketika beliau menjadi begitu sibuk dengan tugas negara apabila beliau dilantik menjadi Perdana Menteri. Ketika siangnya beliau dengan tugas negara, tetapi beliau memberikan tumpuan penulisan karyanya waktu malam. Kerajaan beliau digulingkan kemudiannya lalu beliau dipenjarakan. Beliau menulis banyak karya ketika dalam penjara. Penjara memberikan ruang yang luas kepadanya untuk berkarya dan berfikir. Walaupun jasadnya terkurung, tetapi jiwanya bebas merdeka menerokai ufuk alam semesta.
Ketika akhir hayatnya, beliau bertaubat, lalu menumpukan kehidupannya kepada ibadat, dan sering membaca al-Qur’an serta mengkhatamkan sekali setiap tiga hari sehingga hari kematian pada bulan Ramadan tahun 428H. Beliau menjual semua hartanya sebelum ajalnya, lalu bersedekah dengan wang tersebut kepada fakir miskin. Sebelum meninggal, beliau enggan berubat setelah mengalami sakit dalam perut yang kronik lalu menyerahkan halnya kepada takdir Ilahi. Rupa-rupanya ilmu perubatan yang beliau tulis berjilid-jilid itu bukan untuk dirinya, tetapi untuk masyarakat yang menjadi sumbangan peribadinya untuk masyarakat. ”Sesungguhnya yang terbaik di kalangan kita ialah yang paling bermanfaat untuk ummah”.
Kerjaya perubatan di sisi Ibn Sina ialah tanggungjawab sosial yang perlu dilakukan secara ikhlas. Dalam kerjayanya beliau sering mengubati secara percuma tanpa mengambil upah. Golongan bangsawan dan bawahan berduyun-duyun mengunjunginya untuk rawatan. Ibn Sina telah lama meninggalkan kita tetapi namanya tetap dikenang selagi sejarah ilmu perubatan masih dibincangkan dan ditulis secara adil dan amanah. Beliau mendapat gelaran Syeikh al-Ra’is kerana ilmunya yang ensaiklopedik serta mempunyai sejumlah 276 karya yang diketahui dalam pelbagai bidang. Bilangan ini menjadi simbol kepada kecintaan ilmunya. Karyanya menjadi rujukan kepada ilmuwan yang lain. Kaedah penyelidikannyanya menjadi model untuk diikuti kemudiannya. Dalam kesibukan urusan hariannya, beliau menulis dalam pelbagai keadaan termasuk ketika mengenderai tunggangannya, khususnya ketika beliau menjadi pelarian politik. Dikatakan biasanya beliau menulis sebanyak 50 halaman setiap hari. Antara karyanya yang terkenal ialah al-Qanun fi al-Tibb, Kitab al-Shifa’, Kitab al-Najat, al-Isyarat wa al-Tanbihat, `Uyun al-Hikmah, Kitab al-Hidayah, al-Mabda’ wa al-Ma`ad, al-Arjuzah fi al-Tibb, Tibb al-Qulub dan Danishnamah-yi `Alai.
Demikian pula kegiatan ilmu Abu Bakar Al-Razi, tokoh saintis kimia silam. Beliau sangat tekun dalam penulisan dan kajian makmal penyelidikannya. Beliau mempunyai 220 karya dalampelbagai bidang. Setiap judul mempunyai beberapa jilid. Karya belaiau al-Hawi misalnya mempunyai 30 jilid yang menjadi rujukan universiti Eropah selama ratusan tahun iaitu hingga kurun ke-17. Karya ini membuktikan kesungguhnannya dalam penulisan. Dalam makmal, Beliau menyediakan asid sulfrik, raksa dan alkohol dalam makmal untuk tujuan perubatan. Alkohol dan benang sutera digunakan untuk merawat luka. Alkohol disediakan al-Razi buat pertama kali secara makmal dalam sejarah perubatan untuk tujuan antiseptik. Kaedah sulingan dalam makmal diperkenalkan oleh al-Razi dan beliau menyediakan bahan kimia lain seperti arsenik, kuperum sulfat, ferum sulfat, dan boraks untuk tujuan perubatan. Asid sulfrik yang terhasil dalam ujikaji makmal beliau telah mencerderakan matanya yang akhirnya menyebabkan beliau buta kerana ujikaji tersebut.
Lihatlah pula perjalanan hidup Imam Fakhruddin al-Razi sebagai ilmuwan Islam. Beliau terkenal kerana tafsir al-Qur’an beliau Mafatih al-Ghaib. Beliau benar-benar mencintai ilmu. Beliau menguasai pelbagai bidang ilmu. Koleksi ilmu yag dikuasainya menjadi symbol ilmuwan Islam zaman keagungannya. Beliau hidup dalam kurun ke-6 Hijrah. Beliau menguasai bidang ilmu kalam, tafsir, fiqh, usulfiqh, matematik, falak, sains tabii, perubatan, anatomi, kimia, falsafah, mantik, kesusasteraan, firasat, dan berbagai ilmu yang lain. Beliau sangat menghargai waktu. Waktu makannya dipendekkan atau ditiadakan kerana sayangkan kegiatan ilmunya terganggu. Ratusan pelajar mengiringinya ketika beliau dalam perjalanan. Beliau memberi kuliah ketika bermusafir. Beliau dirujuki oleh ulama dan pemimpin. Kepelbagaian ilmu yang dimilikinya memberikan kelebihan kepadanya untuk mentafsir al-Qur’an dalam skop yang luas berdasar pengetahuannya yang bersepadu itu. Sebagai contoh, beliau membincangkan peranan geometri dalam penentuan kiblat, merujuk ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan graviti, mengaitkan ayat al-Qur’an dengan penemuan sains semasa dan sebagainya. Akhlaknya tinggi, dan sentiasa merendah diri. Pada akhir hayatnya, beliau membuat surat wasiat, bahawa apabila beliau mati, sembunyikanlah berita kematiannya, kebumilah jenazahnya di tempat yang terpencil di atas bukit, lalu apabila meletakkan jasadnya dalam liang lahad, beliau berpesan dengan penuh kerendahan diri, ”Apabila mereka letakkan jasadku di liang kubur, bacalah semampunya bebarapa ayat al-Qur’an, taburlah tanah ke atas jasadnya, dan apabila selesai, ucapkanlah: Wahai Tuhan Yang Maha Mulia, telah datanglah fakir ini yang sangat memerlukan pertolongan-Mu, berilah kebaikan kepadanya, kasihilah ia kerana sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Rahmat...”. Kecintaannya kepada ilmu pengetahuan turut disebut dalam wasiatnya semoga mendapat rahmat Ilahi kerana sifat itu. Beliau mengulangi bahawa beliau ialah lelaki yang mencintai ilmu pengetahuan dan beliau menyusun karyanya secara bersungguh-sungguh memilih yang terbaik daripada rujukan muktabarnya.[4]
Kecintaan terhadap ilmu biasanya diterjemahkan ke dalam penulisan yang ikhlas. Karya yang ditulis secara ikhlas meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pembacanya. Apakah tujuan seseorang menulis? Soalan ini hanya dapat dijawab oleh penulis itu sahaja. Tujuan ini mempunyai impak yang kuat terhadap hasil akhir karya tersebut. Pada era kemodenan hari ini pula, ada orang yang menulis secara tergesa-gesa kerana mengharapkan karyanya segera terbit untuk dirujuki pelajarnya dalam kuliah. Ada penulis yang menulis secara tergesa-gesa dengan tujuan untuk tujuan kenaikan pangkat. Ada penulis yang menulis kerana tujuan pertandingan karya. Ada penulis yang menulis untuk tujuan mendapat honorarium bagi tujuan kebendaan. Ada penulis yang mengharapkan puji-pujian di atas usahanya itu. Ada yang menulis kerana kerjayanya secara kebetulan ialah sebagai penulis. Ada pula yang menulis kerana beliau diupah untuk menulis karya.
Marilah kita perhatikan pula tujuan penulisan yang dilakukan oleh ilmuwan Islam silam yang karyanya dibaca dan dikaji sepanjang zaman. Abu Jaafar al-Tabari pengarang tafsir yang sangat terkenal dikatakan ilmuwan Islam yang meninggalkan paling banyak kitab dan tulisan sama ada yang sudah bercetak atau pun yang masih tinggal dalam bentuk manuskrip. Kitabnya dibaca dan dikaji sepanjang zaman. Tafsirnya menjadi rujukan hampir keseluruhan tafsir yang ditulis selepasnya. Jasa dan bakti keilmuanya mengalir sepanjang zaman. Itulah nilai ilmu yang bermanfaat yang menjadi peninggalan amalan ibadah yang mulia. Itulah matlamat penulisan ilmuwan silam. Jasad penulis telah hilang ditelan zaman, namun penulisan kitab menjadi peninggalan jasa yang abadi.
Al-Jahiz, sasterawan dan ahli zoologi Islam yang terkenal menulis lebih 300 judul karya. Ada riwayat yang menyatakan beliau mati tertimbus karyanya sendiri pada hari tuanya. Di sisinya, tinta ilmuwan sangat mulia berbanding pengorbanan yang lain termasuk darah dan jiwa. Penulisan dilakukan dengan penuh kecintaan ilmu.
Al-Biruni yang menulis karya agungnya dalam astronomi dan fizik yang bertajuk al-Qanun al-Mas`udi enggan menerima honorarium yang begitu lumayan yang dianugerah oleh Khalifah al-Mas`udi kerana menurutnya beliau menulis kerana kecintaannya terhadap ilmu, bukan kerana sebarang sebab keduniaan. kemuliaan ilmu tidak dapat dinuilai dengan sebarang anugerah berbentuk komoditi dunia.
Pada era kemajuan teknologi moden ini pula, mungkin perlu pula kita bertanya sebelum memulakan sesuatu penulisan ilmiah atau lainnya, apakah pula tujuan penulisan kita? Malanglah andainya tujuan itu hanya sekadar menjadikan ilmu sebagai bahan komoditi semata-mata.
Bagi seorang Muslim, tujuan penulisan yang sebenarnya termasuk dalam konsep pengabdian diri kepada Pencipta-nya. Penulisan merupakan ibadat. Penulisan ialah peninggalan terakhir seorang insan ketika meninggalkan dunia yang fana ini. Walaupun pengarangnya telah mati tetapi karyanya terus hidup. Tujuan yang akhir ini memberi kekuatan yang luar biasa kepada individu tersebut. Kekuatan ini mengatasi segala kekuatan lauaran yang lain. Kesibukan tidak menghalang tujuan ini dilaksanakan penuh kesabaran. Tugas harian yang berat tidak menjadi sebab kepada halangan penulisan.
Biasanya perkara yang paling sukar dalam penulisan ialah kemahuan untuk memulakan ayat pertama dalam penulisan. Benar, ayat pertama itulah yang paling sukar ditulis. Ayat kedua jauh lebih mudah untuk disambung kepada ayat yang pertama tadi. Ingat bahawa perjalanan yang jauh itu bermula dengan langkah yang pertama.
Penulisan karya ilmiah memerlukan ilmu yang mantap. Kita tidak boleh menulis bidang ilmu yang tidak kita kuasai sepenuhnya. Kandungan ilmu yang menyeluruh perlu diserlahkan dalam penulisan. Akademik dan intelek sahaja tidak mencukupi dalam penghasailan karya, bahkan sistem nilai harus diterapkan sebab penulisan ialah gabungan intelek dan cetusan perasaan penulisnya yang dilahirkan dalam bentuk tulisan. Ilmu yang mantap, kelancaran minda penulis terlukis kemas dalam susun bicara karyanya. Aliran penulisan yang lancar dan bertenaga yang digubah dengan bahasa perantaraan yang indah menjadi rahsia kejayaan sesebuah karya dalam menghubungjalinkan seluruh ilmu yang ingin disampaikan pengarangnya.


Budaya Penulisan Ilmuwan Melayu Silam

Ilmuwan Melayu tidak ketinggalan dalam bidang penulisan ilmiah. Tamadun Melayu dianggap sebagai lanjutan tamadun Islam induk yang agung. Di Aceh, dalam kisah pelayaran Ibn Batutah yang terkenal beliau melaporkan kegiatan ilmu menjadi kegiatan yang besar di Aceh. Beliau bertemu Qadi Sumatra yang bernama Syed Shirazi serta alim ulama yang mengalu-alukan ketadangannya ke “Istana Jawi”.[5] Di ceritakan bahawa kegiatan ilmu Islam berkembang pesat di rantau itu. Rajanya menghormati alim ulama. Apabila Sultan mengenderai gajah, para alim ulama mengenderai kuda yang berada di sisi kanan baginda. Dalam istana pula, para fuqaha berbincang fiqh mazhab Imam al-Syafii serta para hukama dan cendekiawan dihormati dalam setiap majlis kebesaran Sultan. Kegiatan ilmu menjadi kegiatan penting Kerajaan.
Dalam bidang usuluddin, kegiatan menterjemahkan dan menulis semula karya-karya Arab dalam bahasa tempatan giat dilakukan di pusat pengajian Islam Aceh yang dikenali sebagai emunasah, rangkang, balee dan dayah mengikut tahap pengajian. Selain daripada pusat pengajian tersebut, masjid juga menjadi pusat pengajian yang utama. Di Aceh, masjid Bait al-Rahim yang dibina oleh Sultan Iskandar Muda (1607M), Masjid Bait al-Rahman yang dibina oleh Sultan Ala’uddin Mahmud Shah 1 telah menjadi pusat pengajian tinggi yang terkenal. Masjid Bait al-Rahman dan Bait Musyahadah dianggap universiti Melayu pertama di rantau ini yang menawarkan pelbagai ilmu Islam. Masjid ini memainkan peranannya sama seperti peranan Masjid Azhar di Kaherah.[6] Antara penulis Aceh yang sangat dikenali ialah Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, ’Abdul Rauf Singgkel, Syamsuddin al-Sumatrani dan Bukhari al-Jauhari.
Setakat ini, kitab terjemahan dalam ilmu usuluddin pertama yang diketahui ditulis kembali dalam bahasa Melayu di rantau ini ialah kitab al-’Aqa’id al-Nasafiyyah atau ’Aqa’id al-Nasafi yang ditulis dalam tahun 1590M. Teks ringkas ’Aqa’id al-Nasafi ditulis oleh seorang ulama kurun ke 5H (atau ke 11M), bernama ’Umar bin Muhammad al-Nasafi (461-537H). Karya asalnya berbentuk matan yang menghuraikan asas akidah Islam.[7]
Kitab ’Umm al-Barahin yang ditulis oleh Abu ’Abdillah Muhammad bin Yusuf al-Sanusi adalah kitab mengenai akidah yang digunakan secara meluas dalam pengajian Islam diseluruh pelusuk rantaunya. Kitab ini menjadi teks penting di Nusantara. Teks ini pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh beberapa penulis tempatan secara harfiah atau pun berbentuk syarahan. Dalam pendahuluan kepada satu daripada terjemahannya, penterjemah (tidak dinyatakan nama tetapi kemungkinan ’Abdul Qadir bin ’Abdul Rahman al-Fatani) menyatakan bahawa Matan al-Sanusiyyah Umm al-barahin adalah kitab akidah yang sahih mengikut fahaman Ahli Sunnah dan Jama’ah dan tidak mengandungi sebarang penyelewengan atau kesamaran di dalamnya. Kitab ini dipelajari secara menyeluruh di Alam Melayu zaman berzaman.
Dalam kurun ke-18M, Syihabuddin Palembang menulis Risalah berhubung dengan penjelasan mengenai kekeliruan ajaran ”martabat tujuh”. Rujukan utama pengarang tersebut Risalah fi al-Tauhid karya Wali Raslan al-Dimasyqi dan Fath al-Rahman karya Imam Zakaria al-Ansari. Kemas Fakhruddin yang berasal dari Palembang menyusun Kitab al-Mukhtasar kemudiannya untuk tujuan yang sama. Syeikh Nuruddin al-Raniri menulis sebuah kitab tauhid bertajuk Fara’id bi Syarh al-’Aqa’id. Syeikh Abdul Samad al-Palembani, ulama Palembang yang amat dikenali, mengarang kitab Zahrat al-murid fi bayan kalimah al-Tauhid pada tahun 1178H yang menerangkan mengenai kalimah tauhid. Tuan Teh bin Tok Syihabuddin bin Zainal ’Abidin, dari Pahang mengarang Kitab Ilmu Tauhid yang menerangkan pokok-pokok keimanan serta unsur-unsur yang sesat dalam akidah.[8] Syeikh ’Abdul Rauf al-Fansuri penulis kitab fikah yang terkenal, iaitu ’Mirat al-Tullab turut menulis beberapa buah kitab ilmu tauhid termasuk Sullam al-Mustafidin dan Munyat al-I’tiqad. Dalam kitab tasawwufnya bertajuk Kifayah al-Muhtajin, al-Fansuri membincangkan mengenai tauhid Uluhiyyah, Af’al, Sifat dan Zat serta aspek kerohaniah dalam tasawwuf.
Dalam bidang fiqh pula, karya ilmuwan Melayu terlalu banyak untuk diperturunkan di sini. Seawal Dalam tahun 1644, Nur al-Din al-Raniri telah siap mengarang sebuah kitab fikah bertajuk al-Sirat al-Mustaqim yang meliputi aspek-aspek ibadat dengan berpandukan kitab-kitab fikah muktabar seperti Minhaj al-Talibin Imam al-Nawawi (Zakaria al-Ansari) dan syarahan-syarahannya serta kitab-kitab rujukan yang lain seperti Mukhtasar al-Fatawa Ibnu Hajar al-Haithami, ’Umdat al-Salik Syibuddin Ahmad al-Naqib dan al-Anwar li a’mal al-bararah al-Ardibili.
Selain Sirat al-Mustaqim, Syeikh al-Raniri menulis beberapa karya lain seperti Kitab bad’ khalq al-samawat wa’l-ard, Sirat al-Mustaqim, Durrat al-fara’id bi syarh al-’aqa’id, Asrar al-insan fi ma’rifat al-ruh wa al-Rahman, Bustan al-salatin, Fath al-mubin dan Jawahir al-’ulum fi khasf al-ma’lum. Kitab al-Raniri yang bertajuk Tibyan fi ma’rifat al-adyan yang ditulis pada tahun 1644 dikatakan menjadi punca perdebatan antara pengarangnya dengan Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumatrani. Perdebatan ini dikatakan berhubung dengan masalah wahdat al-wujud dalam tasawwuf. Akibatnya, karya-karya Fansuri diperintah agar dibakar oleh pihak pemerintah. Dalam perdebatan tersebut al_raniri dan ’Abdul Rauf Singkel berada di satu pihak lain. Al-Raniri dikatakan mendapat tempat di hati Sultan Iskandar Thani dan raja-raja perempuan selepasnya.
Sebuah kitab fikah yang terperinci lagi mendalam bertajuk Mir’at al-tullab fi sahl ma’rifat ahkam al-syar’iyyah disusun oleh Abdul Rauf Sinkel pada pertengahan kurun ke-17M berpandukan kepada teks Fath al-Wahhab dan Minhaj al-talibin Imam al-Nawawi, Nihayat al-muhtaj Imam al-Ramli, Tuhfah al-muhtaj dan Fath al-Jawwad Ibnu Hajar, di atas titah perintah Sultanah Taj al-’Alam Safiyyah al-Din Syah binti Sultan Iskandar Muda, seorang raja perempuan Aceh yang memerintah pada tahun-tahun 1641-1675. Kitab ini dianggap kitab fikah yang lengkap perbincangannya. Syeikh Daud al-Fatani kemudiannya mentashihkan kitab ini dan dicetak oleh percetakan ’Umm al-Qura Makkah (1309). Dalam pendahuluan kitab tersebut, pengarangnya mengakui tentang kelemahan bahasa Jawinya sebab telah lama merantau ke Yaman, Makkah dan Madinah. Dua orang sahabatnya telah menolong memperbaiki bahasa Jawinya. Terjemahan tajuk kitab ini dalam bahasa Melayu, menurut pengarangnya ialah ”cermin segala mereka itu yang menuntut ilmu fikah”.
Abdul Rauf mempunyai banyak karya lain antaranya termasuklah Daqa’iq al-huruf, ’Umdah al-ahkam, al-Mawa’iz al-badi’ah, Kifayah al-Muhtajin, Kitab fara’id, Hidayah al-balighah, Majmu’ al-Masa’il, Umdah al-muhtadin dan terjemahan Tafsir al-Baidawi yang diberi nama Tarjuman al-Mustafid. Terjemahan Tafsir al-Baidawi yang diusahakan oleh ’Abdul Rauf itu dicatatkan sebagai terjemahan pertama dalam bahasa Melayu. Tafsir ini kemudiannya ditashihkan oleh beberapa ulama Melayu termasuk Syeikh Ahmad Fatani dan Syeikh Idris Husain al-Krlantani. Perlu diingati bahawa kadang-kadang ’Abdul Rauf Sinkel dikenali juga dengan nama ’Abdul ’Abdul Rauf Fansuri. Gelaran nasab Fansuri ini digunakan oleh Syeikh Daud al-Fatani dalam kitabnya Manhal al-Safi misalnya.
Muhammad Arsyad al-Banjari pula mengarang bahagian ibadat dalam kitabnya yang bertajuk Sabil al-muhtadin li tafaqquh amr al-Din pada tahun 1780M di atas titah Sultan Tahmidullah ibnu Sultan Tamjidullah. Karya ini merupakan syarahan kepada Sirat al-Mustaqim yang ditulis oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri. Justeru itu, karya al-Raniri itu sering dicetak di pinggir Sabil-almuhtadin.
Al-Banjari pernah berguru dengan Syeikh Ata’ullah Makkah. Sabil al-muhtadin adalah antara kitab Melayu yang awal dicetak di Makkah dan Mesir (1300H) dan kemudian di Istanbul. Karya usuluddin al-Banjari yang lebih awal ditulis bertajuk Tuhfah al-raghibin fi bayan haqiqah al-muminin adalah mengenai hakikat iman dan ditulis di atas titah sultan yang sama. Kitab ini ditashihkan oleh zuriatnya yang bernama ’Abdul Rahman Sidek dan pernah dicetak di Istanbul pada tahun 1302H dan di Makkah pada tahun 1313H di tepi kitab Badi’ al-zaman tulisan Syeikh Muhammad Azhari Palembang.
Karya-karya lain yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari termasuklah Qaul al-mukhtasar fi Mahdi al-Muntazar, Kanz al-ma’rifah, Kitab fara’id, Kitab al-nikah, Kitab al-arkan li ta’lim al-sibyan, Kitab usuluddin, Kitab bulugh al-muram, Risalah fi bayan al-Qada’ wa’l-Qadar, Hasyiah Fath al-Jawwad, Kitab tasawwuf dan Kitab Tuhfat al-ahbab. Beliau juga pernah menulis satu koleksi (mungkin mengenai nahu bahasa Melayu) bertajuk Majmu’ Bahasa Melayu (dicetak di Singapura pada tahun 1906) dengan nama Risalah al-tadhkirah (Ismail Che Daud, 1990:24-31). Syeikh al-Banjari sering dianggap sebagai ahli fikah yang kedua selepas Nurul al-Din al-Raniri.
Karya dan kitab fiqh yang dihasilkan oleh rangkaian ulama Melayu sangat banyak sama ada secara lengkap mengandungi keempat-empat juzuk utamanya atau sebahagian sahaja. Di samping itu ada pula kitab-kitab fikah yang membincangkan mengenai tajuk yang khusu seperti bersuci, sembanyang, fara’id, zakat, haji, umrah, makanan dan seumpamanya.
Syeikh Daud al-Fatani adalah tokoh ilmuwan Melayu yang agung. Beliau mengarang tentang bab ibadat dalam sebuah kitab yang bertajuk Baghiyyat al-tullab. Kitab ini bolehlah dilihat sebagai rangkaian mercu tanda karya fikah Melayu mengenai ibadat bersama Sirat al-mustaqim al-Raniri, Sabil al-muhtadin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Fath al-mubin syeikh Muhammad Salih al-Rawa dan al-Bahr al-wafi Syeikh Muhammad Ismail al-Fatani.
Kitab Munyat al-musalli tulisan Syeikh Daud bin Idris al-Fatani boleh ditonjolkan sebagai kitab yang khusus membincangkan mengenai ibadat sembahyang. Kitab yang siap ditulis pada tahun 1242H ini pernah dicetak di Mesir, Turki, Bombay, Surabaya, Ceribon, Singapura dan Pulau Pinang. Pencetakan yang meluas ini sudah cukup untuk menggambarkan kepentingan kitab ini dikalangan masyarakat Melayu. Ketika mengarang kitab inilah dikatakan cahaya keluar daripada jari telunjuknya menerangi penulisan tersebut. Kitab ini pernah diulas oleh pengarang lain antaranya menerusi kitab Syarah Munyat al-musalli dan Pati Munyat al-musalli oleh Haji Nik ’Abdul Rahman Haji Che Wan menerusi Ringkasan Musalli. Syeikh Daud membincangkan tentang kaifiat sembahyang tarawih dalam Fa’idah al-muhimmah. Khusus mengenai takbir takbiratul-ihram syeikh Daud menulis Risalah bulugh al-muram manakala persoalan makana, penyembelihan, perburuan, ’aqiqah dan seumpamanya dibukukan dalam al-Said wa al-dhab’ih.
Kitab al-Bahjah al-mardiyyah Syeikh Daud al-Fatani secara khusus membincangkan tentang masalah makmum dan imam sembahyang. Ketika menyusun kitab ini, Syeikh Daud telah merujuk kepada kitab Arab bertajuk Syarh manzum Syeikh ’Azizi oleh Muhammad Salih Ibrahim. Kitab Sullam al-taufiq karya Syed Muhammad Zainal ’Abidin (Tok Ku Tuan Besar) pun berkaitan dengan ibadah sembahyang, masalah muwafiq dan masbuq. Kitab lain yang popular dirujuk dalam bab sembahyang ialah Kitab perukunan besar atau Perukunan sembahyang susunan Haji ’Abdul Rusyd al-banjari. Kitab ini disusun berpandukan kitab fikah Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Dalam kitab Hidayat al-muta’alli wa ’umdah al-mu’allim, Syeikh Daud al-Fatani membincangkan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan keimanan dan hukum fikah. Kitab ini pernah dicetak di Makkah (1312H). Kitab-kitab fikah karangan Syeikh Daud antaranya termasuklah Idah al-bab, Ghayat al-taqrib, Ghayat al-maram dan Furu’ masa’il. Kitab Ghayat al-taqrib membincangkan mengenai pembahagian pusaka manakala Ghayat al-maram mengenai ibadat umrah.
Di samping itu terdapat juga manuskrip tulisan Syeikh Daud yang telah dicetak seperti Furu’ masa’il yang boleh didapati di Pusat Islam misalnya. Furu’ masail adalah kitab fikah yang membincangkan perkara-perkara cabang secara teliti dan lengkap. Karya fikah lain yang lengkap termasuklah Mir’at al-tullab karya Abdul Rauf dan Kasyf al-litham karya Syeikh Zainal ’Abidin al-Fatani. Perbincangan ilmu fikah yang lengkap boleh juga didapati dalam karya-karya lain Syeikh Daud al-Fatani seperti Hidayat al-muta’llim, Fath al-Mannan dan Jawahir al-saniyyah.
Walaupun ringkas, kitab Matla’ al-badrain tulisan Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani atau nama sebenarnya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fatani adalah contoh kitab fikah yang lengkap. Kitab ini sangat popular di kalangan masyarakat Tanah Melayu, Indonesia dan Thailand. Sebuah kamus mengenai kitab ini bertajuk Suluh Matla’ al-badrain (1941) ditulis khas oleh Haji ’Abdul Ghani Yahya untuk kemudahan para pelajar. Kitab Matla’ al-Badrain turut diberi penjelasan dan syarah oleh Haji Zakaria Haji Ahmad menerusi Matla’ al-nurain. Kitab fikah lain yang berbentuk perundangan Islam yang ditulis oleh Syeikh Nik Mat Kecik ialah al-Bahr al-wafi wa al-nahr al-safi. Kitab ini mengandungi perundangan Islam dan permasalahan cabang yang banyak dalam fikah mazhab al-Syafi’i yang dibincangkan secara terperinci. Kitab setebal 573 halaman ini pernah dicetak di Jeddah pada tahun 1930. Selain itu, Syeikh Muhammad menulis beberapa buah kitab fikah lain mengenai tajuk-tajuk khusus seperti yang terdapat dalam Wasyah al-afrah dan Sawati’ al-barq membincangkan mengenai sembahyang qasar dan jama’. Kitab Wasyah ak-afrah membincangkan mengenai tauhid dan fikah. Syeikh Muhammad menulis beberapa kitab agama dalam pelbagai bidang termasuk kitab al-Kaukab al-durri fi al-Nur al-Muhammadi dan al-Durr al-masnun.
Ulama Melayu bukan sahaja terkenal penulisannyaa dalam bidang agama, nanum turut menghasilkan karya dalam bidang ilmu alat seperti falak, perubatan dan pendidikan. Dalam bidang falak, terdapat banyak penulisan mereka sama ada dalam bentuk bercetak atau masih tertinggal dalam bentuk manuskrip. Di antara manuskrip yang dimaksudkan termasuklah sebuah kitab mengenai astrolab karya Mahmud Zuhdi bin Abdul Rahman yang ditulis pada tahun 1343H, sebuah kitab mengenai jadual falak karya Muhammad Marzuqi bin Syed Husain yang ditulis pada tahun 1334H dan jadual-jadualnya ditulis dalam sistem munajjimin atau sistem jummal, Kitab al-Wasilah al-Mar’iyyah li ma’rifat al-auqat al-Syar’iyyah yang mengandungi 24 bab mengenai pengiraan waktu yang berhubung dengan syari’ah karya Khalifah bin Hamad yang ditulis pada tahun 1326H, sebuah kitab falak mengenai jirim-jirim langit (al-ajram al-samawiyyah) yang ditulis pada tahun 1334H, (tidak dinyatakan pengarangnya,) yang merupakan salinan daripada sebuah kitab lain yang juga tidak dinyatakan namanya. Kitab Syarh al-Dawa’ir karya Syeikh Sulaiman al-Zuhdi yang disalin balik oleh penulis Nusantara yang tidak disebut namanya dan sebuah kitab falak bertajuk Kitab al-Khusuf dan Kitab al-Kusuf karya Muhammad Mansur bin Abdul Hamid al-Batawi (tidak dinyatakan tahun penulisannya) mengenai gerhana bulan dan matahari.
Selain daripada manuskrip, buku-buku bercetak yang dihasilkan oleh ahli falak Nusantara juga banyaj ditemui. Antara karya penting yang dimaksudkan Riad al-wardiyyah, Nukhbah al-Bahiyyah dan Khulasah al-Jawahir al-Naqiyyah karya Syeikh Ahmad al-Khatib Pati Kiraan karya Syeikh Tahir Jalaluddin, Khulasah al-Wafiah fi al-Falak bi jadwal al-Lugharatimiyyah karya Zubair ’Umar al-Jailani, Minhaj al-Qawim pada mengetahui Hisab dan Taqwim karya Syeikh Abdul Rahman al-Fatani, Hisab Falak karya A. Katsir, Kitab Falak karya Syeikh Ahmad al-Fatani, Pati Kiraan Syeikh Tahir Jalaluddin, Almanak Jamiliyyah Syeikh Jamil Jambek, al-Majesti Ajeungan H. Nawawi, dan lain-lain.
Contoh yang diperturunkan di sini hanyalah sebahagian kecil daripada warisan karya alam Melayu zaman berzaman. Ini menunjukkan sebelum penjajahan bermula, rantau ini merupakan rantau ilmu yang terkenal yang menjadi lanjutan kepada tamadun ilmu Islam induk yang berpusat di Timur Tengah, khususnya kegiatan ilmu di Tanah Suci Makkah dan Madinah.
Sebagai simbol kesepaduan keilmuan ulama Melayu dalam pelbagai bidang, marilah kita melihat sejarah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Beliau dianggap ilmuwan Melayu-Islam teragung sepanjang zaman. Beliau ialah tokoh ilmuwan ulung Alam Melayu yang bergiat di Makkah dalam pada penghujung kurun ke-19. Beliau menghasilkan 160 buah karya dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan termasuk ilmu agama dan ilmu moden yang lain termasuk perubatan, falak dan matematik.
Syeikh Ahmad menulis dalam pelbagai ilmu pengatahuan agama atau umum. Bidang pengetahuan yang dikuasai oleh tokoh ini boleh diperhatikan menerusi tajuk karyanya. Antara karta beliau dalam bahasa Arab termasuklah Jumanah al-Tauhid (1293H), Munjiat al-Awam (1293H), al-Thimar al-Syahiyyah (1294), Unqud al-Laali (1296), Manzumah al-Awamil (1296), Tashil Nail al-Amani (1300H), Syarah Matn al-Sakhawi (1304), Sabil al-Salam (1306), Ibriz al-Sarfi (1306), Ghayah al-Idrak (1313), Ilm al-Sarf (1317H), Abniah al-asma wa al-af`al (t.t), Matn al-Damm wa al-Madkhal (t.t), al-Risalah al-Fataniyyah (t.t), Tadrij al-Sibyan (t.t), `Ilm al-Isti`arah (t.t), Jadawal al-Mawaqi` (t.t), Faedah Buruj Ithna `Asyarah (t.t), Khawas Asma al-Husna (t.t), Manzumah Tauhid wa al-Fiqh wa al-Tasawwuf (t.t), `Ilm al-Fiqh al-Islami (t.t), Syarah al-Syarwani, `Ilm al-Hisab, `Ilm al-Falakiyyah, al-Dua wa al-Munajat, Wasilah al-Tullab, dan al-Fatawa al-Fataniyyah.
Antara tulisannya dalam bahasa Melayu termasuklah Luqtah al-Ajlan (1301H), Tarikh Turki Uthmani (1303), Bisyarah al-`Amilin (1304H), `Iqd al-Juma`an (1306H), Sa`adah al-Mutanabbih (1306H), Badr al-Tamam (1307H), Hadiqah al-Azhar (1307H), Bahjah al-Mubtadin (1310H), Tuhfah al-Ummah (1310H), Tayyibul Ihsan (1312H), Faridah al-Fara’id (1313H), Unwan al-Falah (1319H), `Aqidah Usuliddin (1321H), Mir’at al-`Aja’ib (1324H), al-Nur al-Mub,n Sejarah Lampung Pecah (Karakatoa), al-Fatawa al-Fataniyyah dan Fatwa Puasa dengan Hisab Taqwim dan Rukyah (t.t).. Sebahagian daripada tajuk yang disenaraikan di atas masih tinggal dalam bentuk manuskrip.
Karya para ilmuwan yang dipaparkan di sini menjadi bukti yang hidup bahawa Alam Melayu pernah muncul sebagai peradaban ilmu yang agung suatu ketika dahulu sebagai lanjutan kepada tamadun induk umat Islam yang sejagat. Tulisan mereka menjadi teks dan rujukan yang menyeluruh bagi pengajian serantau yang menjadi sebahagian kebudayaan ilmu rantau ini.


Membina Syaksiah Keilmuan Muslim: Pandangan Sa`id Hawa

Umat Islam kini berada di persimpangan jalan. Jalan pertama ialah untuk mengembalikan kegemilangan ilmu warisan Islam yang bersifat fardu ain secara bersepadu dengan ilmu lain yang bersifat fardu kifayah. Jalan kedua ialah meneruskan sistem sekularisme yang melihat ilmu sebagai alat komoditi atau alat pembinaan teknologi fizikal semata-mata.
Bahasa Arab ialah bahasa al-Qur’an dan bahasa umat Islam. Kita perhatikan bahasa Arab menjadi bahasa tamadun yang agung. Dunia Islam seluruh dunia menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa umat Islam. Bahasa Arab merupakan bahasa ilmu. Ilmu warisan Islam diungkapkan dalam bahasa ini. Akan tetapi sayang, buat masa ini bahasa Arab terpinggir jauh daripada umat Islam bukan-Arab. Umat Islam kelihatannya saangat jauh daripada ilmu warisan Islam jika mereka tidak memahami bahasa Arab. Mampukah umat Islam menghayati intisari dan keindahan al-Qur’an andainya tidak memahami bahasa al-Qur’an? Bagaimanakah umat Islam mampu memahami kedalaman maksud Hadith saw apabila mereka tidak memahami bahasa asalnya? Warisan Islam yang termaktub dalam pelbagai bentuk penulisan dalam perpustakaan Islam seluruh dunia yang meliputi pelbagai bidang ilmu, turut tersembunyi rahsianya dalam lipatan sejarah andainya bahasa umat Islam ini tidak difahami? Apatah lagi apabila persoalan penghayatan dan pembudayaan ilmu ingin dikaitkan dengan umat Islam hari ini, yang rata-ratanya terpisah jauh daripada budaya keilmuan warisan.
Sa`id Hawwa menerusi bukunya Jundullah menyarankan ilmu asas yang komtemporari yang harus dikuasai oleh umat Islam secara keseluruhannya termasuk ilmu usul asas (berkaitan Allah swt, Nabi Muhammad saw, Islam), al-Kitab, al-Sunnah, Usul Fiqh, Akidah, Fiqh, Akhlak, Sejarah Islam, bahasa Arab, konspirasi terhadap Islam, hal-hal semasa dan fiqh semasa.[9]
Khusus tentang al-Qura’an umat Islam harus mempelajari ilmu tilawah, nasikh mansukh, asbabul-nuzul, gharib al-Qur’an, adab tilawah, dan tafsir. Antara kitab tafsir yang biasa dipelajari termasuklah Tafsir al-Jalalain, Tafsir Abi Su`ud, Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir Fi Zilal Seyyed Qutub. Kitab adab al-Qur’an rujuklah al-Tibyan al-Nawawi.[10]
Kitab-kitab Hadith yang terkenal seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan al-Nasa’I, Jami` al-Tarmizi, Sunan Ibn Majah dan Musnad al-Imam Ahmad merupakan koleksi terkenal dalam ilmu berkenaan.
Ilmu Usul Fiqh melibatkan perkaedahan pembentukan hukum fiqh menerusi sumber yang muktabar berdasar setiap mazhab. Said Hawwa memberi contoh antara kitab penting dalam kategori ini termasuklah al-Risalah Imam al-Syafii dan al-Mustasfa al-Ghazali.
Adapun ilmu Bahasa Arab mengikut Sa`id Hawwa perlulah seseorang Muslim mempelajari pemahaman bahasa tersebut menerusi khat dan imlak Arab, nahu dan saraf, ilmu balghah, `arud, kamus dan kesusasteraan Arab klasik. Dalam bidang nahu kitab yang terkenal termasuklah Syudhur al-Dhahab, Qatr al-Nada dan Syarah Ibn `Aqil. Kitab balaghah yang terkenal pula ialah al-Balaghah al-Wadihah, manakala kamus muktabar termasuklah Qamus al-Muhit dan al-Sihah karya al-Jauhari. Pembaca harus peka apabila merujuk kamus yang disusun penulis bukan-Muslim seperti al-Munjid khususnya bahagian al-A`lam (tokoh) kerana ada maklumat yang kurang tepat di dalammya. Adapun tentang imlak bolehlah rujuki al-Mufrad al-`ilm fi Rasm al-Qalam.
Seterusnya umat Islam harus peka dengan perkembangan syiar Islam serta ancaman terhadapnya, termasuk persoalan penjajahan ekonomi, fizikal dan fikiran, misionari, ancaman sekularisme, perkauman, sosialisme, kapitalisme, zionisme serta rangkaiannya termasuk freemason, rotari dan lions. Sa`id Hawwa mencadangkan agar buku seperti Nahw Mujtama al-Islam Seyyed Qutub, al-Islam wa’l-Musykilat al-Hadarah Seyyed Qutub, Nahnu wa al-Hadarah al-Gharbiyyah Abu’l-Ala al-Maududi, Harakat wa Mazahib Fathi Yakan, dan al-Thaqafah al-Islamiyyah Dr Abdul Karim Uthman, dikaji dan dikupas agar minda umat peka terhadap suasana semasa umat Islam serta ancaman terhadapnya. Kemudian, belia Islam perlu memperluaskan lagi bacaan dan perbincangan tentang buku-buku tasawwur seperti Mabadi al-Islam al-Maududi, Khasa’is Tasawwur al-Islami Seyyed Qutub, al-Mustaqbal li Haza al-Din Seyyed Qutub dan al-Risalah al-Muhammadiyyah Sulaiman al-Nadwi.
Berkaitan dengan ekonomi Islam rujukilah buku seperti al-Isytirakiyyah al-Islami al-Siba`i, Milkiyyah al-Ard fi’l-Islam al-Maududi, al-`Adalah al-Ijtima`iyyah fi’l-Islam Seyyed Qutub, al-Riba al-Maududi, dan al-Takaful al-Ijtima`iyyah fi’l-Islam Abdulalh Ulwan.
Muslimat digalakkan membaca buku seperti al-Mar`ah baina al-Fiqh wa’l-Qanun al-Siba`i, Tafsir Surah al-Nur al-Maududi dan al-Hijab al-Maududi. Buku Manhaj al-Tarbiyyah al-Islamiyyah Muhammad Qutub boleh dirujuk untuk pendidikan Islam. Persoalan jihad pula rujukilah al-Silm wa;l-Harb al-Siba`i, al-Jihad al-Maududi, dan Nazariyyah al-Islami al-Maududi.
Banyak buku yang ditulis dalam bidang usul dakwah boleh digunakan untuk perbincangan secara berkumpulan seperti Minhaj al-Inqilab al-Islami al-Maududi, Ma`alim fi al-Tariq Seyyed Qutub, Musykilat al-Dakwah Fathi Yakan, Nahw Hukm al-Islam al-Danawi, dan tulisan Hasan al-Bana seperti Risalah al-Ta`lim, Baina al-Ams wa al-Yaum, al-Rasa’il al-Thalath, dan al-Mu`tamar al-Khamis.
Sehubungan dengan ini, Sa`id Hawwa mencadangkan agar halakah pengajian digiatkan dalam masyarakat Islam. Halakah pengajian ilmu tersebut perlulah melibatkan tiga usul asas (Allah swt, Nabi Muhamammad saw, Islam), halakah al-Kitab dan al-Sunnah, halakah Usul Fiqh, halakah Akidah, halakah Akhlak, halakah pengajian Arab, halakah tentang konspirasi terhadap Islam, halakah sejarah Islam, halakah ketamadunan semasa, persoalan semasa dan halakah Fiqh al-Da`wah. Umat Islam perlulah mengkhususkan masa hariannya untuk majlis ilmu, membaca al-Qur’an, khususnya selepas fajar atau antara maghrib dan isyak, kerana kedua-dua waktu tersebut masa yang terbaik untuk pengisian ilmu. Jadikan proses mencari ilmu sebagai proses sepanjang hayat. Jadikan pengisian ilmu sebagai suatu kemestian pada setiap individu Muslim. Di samping itu, jadikan zikrullah sebagai amalan yang berterusan, sama ada tasbih, tahlil, tahmid, istighfar dan seumpamanya.
Belia dan beliawanis bukan sahaja harus menguasai ilmu, bahkan pernghayatannya. Ilmu sebagai pohon tetapi amalan serta akhlak yang mulia merupakan buah yang manis. Jadilah ibarat pohon tamar yang sentiasa malar hijau sepanjang tahun, mengeluarkan buah tanpa musim, buah yang manis berkhasiat. Anak-anak yang nakal membaling batu ke arah pohon tamar untuk menggugurkan buahnya. Batu dibaling ke arahnya, tetapi tamar membalasnya dengan guguran buah yang manis. Itulah ibarat seorang Muslim yang berilmu dan berakhlak. Kata nista dibalasnya dengan senyuman penuh makna. Hidupnya di padang pasir memberikan harapan kepada pengembara untuk berteduh. Tamar simbol kehidupan dan tamadun di gurun Sahara. Biasanya terdapat wadi yang menakung air yang jernih di celah-celah barisan rimbunan pohon itu. Seluruh pohonnya berguna untuk manusia, dari batang hinggalah pelapahnya, kehidupan pohon itu benar-benar berbakti kepada yang memerlukannya. Kebaikannya tidak bermusim. Keteguhan peribadinya mencengkam bumi menahan tiupan ribut padang pasir. Akarnya menjunam ke dasar bumi. Daunnya menghijau di tengah panahan terik pancaran matahari. Peribadinya benar-benar melambangkan peranan dan kegigihan seorang Muslim dalam masyarakat. Hanya satu kelemahannya, bahawa bunganya perlu dikahwinkan dengan debunga pohon yang lain supaya berbuah. Tanpa percantuman bunganya, tamar enggan berbuah, seperti manusia juga yang perlu dikahwinkan sebelum menurunkan zuriat. Seperti manusia juga, pohon keluarga palma itu apabila dipotong bahagian atasnya, matilah ia. Ini berbeza berbanding pohon yang lain seperti rambutan misalnya, apabila dipangkas dahannya maka semakin banyak tunas baru yang tumbuh, lalu tahun hadapan semakin banyak mengeluarkan buah, seolah-olah seseorang mengeluarkan zakat, yang disangkakannya mengurangkan khazanah simpanannya, tetapi sebenarnya khazanah itu bertambah dengan lebih cepat lagi sepertimana pangkasan ranting rambutan tadi mengeluarkan buah yang berganda dari sebelumnya. Inilah simbol Muslim dalam masyarakat, simbol ilmu dan akhlak.


Umat Islam Dahulu dan Kini

Sejarah kegemilangan ilmu umat Islam seperti cebisan episodnya digambarkan dalam perenggan yang di atas tadi, hanya tinggal kenangan abadi. Umat Islam hari ini, bukan hanya ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan bahkan ketinggalan dalam semua lapangan kehidupan. Umat Islam dihina oleh masyarakat dunia. Mereka dilabel sebagai masyarakat mundur. Lebih malang lagi, umat Islam hari ini bukan sahaja dilabelkan sebagai masyarakat mundur bahkan turut dikaitkan dengan segala keburukan. Sebagai contoh, ahli politik British yang bernama Robert Kilsroy-Silk menulis dalam Express on Sunday bahawa “We owe the Arabs nothing”. Seterusnya beliau menulis:[11]

What do they (the Arabs) think what we feel about them? That we admire them for being suicide bombers, limb amputators, women repressors.

Walaupun kecaman yang menganggap umat Islam sebagai pengganas seperti yang diungkapkan di atas yang dilakukan oleh individu tertentu tetapi ungkapan itu mewakili pendangan besar masyarakat Barat terhadap Islam. Mereka bukan sahaja mencemuh umat Islam bahkan mereka mencemuh Islam itu sendiri. Islam dipersalahkan oleh Barat dan sekutu mereka. Islam telah diletakkan dalam kandang orang salah. Bagaimanakah kita mampu membela serangan terhadap Islam tanpa ilmu secukupnya?
Pandangan negatif sedemikian tidak hanya tersebar di kalangan masyarakat Barat, bahkan kadang-kadang tersebar di kalangan umat Islam sendiri. Mereka sinis terhadap budaya Islam. Sinis terhadap perundangan Islam. Sinis terhadap ekonomi Islam. Sinis terhadap pentadbiran Islam. Kefahaman masyarakat terhadap kesyumulan Islam dipudarkan oleh gerakan sekularisme yang melanda umat Islam dalam kurun-kurun terakhir ini. Umat Islam yang pernah berada pada puncak ketamadunan ilmu suatu ketika dahulu, kini berada pada titik yang paling bawah dalam putaran roda peradaban.
Tamadun biasanya mengalami jangkahayat tertentu dan penurunannya berlaku sama ada perlahan-lahan seperti tamadun Yunani dan akhirnya mati sama sekali, atau penurunannya secara mendadak seperti yang berlaku kepada Soviet Union yang mementingkan tamadun fizikal semata-mata. Namun tamadun Islam mempunyai fasa kecemerlangan dan kemerosotan yang berulang. Tamadun Islam ibarat fasa bulan yang bermula dengan hilal, beransur-ansur membesar bentuknya dan akhirnya mengambang penuh purnama pada pertengahan tempoh lalu menyusut perlahan-lahan hingga ke akhir bulan. Namun pada bulan yang berikutnya hilal muncul lagi untuk mengulangi proses yang lepas. Umat Islam mengalami zaman kegemilangan dari kurun ke-8 secara mendadak sehingga mencapai puncak kecemerlangan keepaduan ilmunya pada kurun ke-10 lalu bertahan puncaknya sampai kurun ke-11. Kurun yang berikutnya berlaku kegawatan politik dan kemelut umat Islam memuncak apabila tentera Tartar menyerang Baghdad lalu memusnahkan kerajaan induk. Kerajaan kecil yang tersebar seluruh pelusuk wilayah Islam mengalami kemerosotan perlahan-lahan hingga kurun ke-13 dan 14. Kemerosotan tersebut akhirnya mencapai titik bawahnya apabila Eropah mula membina tamadun mereka lalu menguasai rantau Islam dalam prosses kolonialisme Barat yang mencapai ke akhir fasanya pada kurun ke-19 dan 20. Kurun ke-20 menyaksikan titik lengkok minimum tamadun Islam yang selepas titik minimum, yakni tatap paling rendah, umat Islam tidak boleh turun lebih rendah daripada itu, lalu kebangkitan mula kelihatan pada pertengahan kurun ke-20. Hilal bagi fasa kedua ulangan umat Islam sudah mula kelihatan di ufuk timur. Kita yakin hilal akan membesar mengikut fitrah asalnya.
Kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 menyaksikan nasib malang umat Islam yang paling derita dalam sejarah umat. Umat Islam kehilangan maruah, daya juang, pendidikan, ekonomi, budaya dan politik. Kerajaan Uthamaniyyah sebagai penaung terakhir umat Islam dalam kewarisan khalifah yang terbina selama 1300 tahun telah runtuh. Umat Islam tiada sebarang penaung induk. Mesir, Nigeria, India, Tanah Melayu, dan Borneo jatuh ke tangan British. Indonesia menjadi jajahan Belanda. Moroko, Algeria, Tunisia menjadi taklukan Perancis. Asia Tengah yang berpusatkan Samarkhan menjadi cabang wilayah Kesatua Soviet. Negara Arab Teluk yang kaya dengan minyak tunduk kepada kemahuan British. Lebih menyayat lagi, bumi Palestin dirampas dan diisytiharkan wilayah Israel. Wilayah ini dirancang untuk berkembang lebih luas dari masa ke semasa. Satu fasa keagungan dan kejatuhan telah lengkap.
Kurun ke-20 menyaksikan permulaan fasa kedua bermula. Suara Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhamad Abduh mempengaruhi sebahagian umat untuk menyedari betapa zaman lena umat Islam telah berlalu. Suara as-Sanusi bergema di Libya dan Maghribi, manakala al-Mahdi bersama Uthman Daqnah di Sudan. Di Turki, Sa`id Nursi gigih menyebarkan Rasa’il al-Nur mengajak umat Islam ke arah iman dan perjuangan. Di India, suara Muhamad Iqbal dan pejuang kemerdekaan mula didendang. Ulama Melayu yang bermaustautin di Makkah seperti Syeikh Muhamammad al-Fatani dan Syeikh Nawawi al-Bantani menyeru jihad menentang British dan Belanda di Alam Melayu. Seruan mereka menjadi denyutan nadi yang semakin kencang kepada umat Islam untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan jasad dan jiwa. Tamadun Islam tidak mati seperti sangkaan penulis orientalis. Tamadun Islam hidup dan bakal hidup dalam fasanya tersendiri.
Islam tidak berubah bahkan umat Islam yang rata-ratanya hilang identiti hari ini. Ketika mereka berpegang teguh kepada Islam suatu ketika dahulu, khususnya ketika kerajaan Abasiah di Baghdad, atau lanjutan kerajaan Muawiyyah di Sepanyol, mereka ialah golongan pembinan sains dan teknologi dunia yang paling utama ketika itu. Bahasa Arab menjadi bahasa sains dan teknologi ketika itu. Teknologi terbaik Eropah berada di Andalusia Islam. Selepas Islam tidak lagi menjadi paradigma hidup, mereka berubah menjadi umat yang lemah di dunia. Mereka ditindas dan dijajah.
Masyarakat Barat pula berbeza. Ketika mereka berpegang kuat dengan agama dan gereja, ketika itulah mereka berada di tahap kemunduran yang melarat dalam sains, apatah lagi teknologi. Bahkan, sesiapa di kalangan mereka yang menerbitkan pemikiran sains yang bercanggah dengan doktrin resmi mereka, mereka akan diancam hukuman bunuh. Ketika itu mereka gelarkan diri mereka berada dalam zaman kegelapan. Selepas revolusi Perancis mereka bebas dari gereja. Mereka menolak agama dan sistem nilai. Lalu mereka membina pemikiran sains dan teknologi yang akhirnya teknologi mereka berkembang. Mereka membina tamadun kebendaan semata-mata. Eropah maju kerana menolak agama. Umat Islam pula maju kerana berpegang kepada agama. Pandangan kerdil saya, carilah kembali paradigma Islam, seperti yang dipegang generasi emas dulu, nescaya umat Islam kembali menghasilkan teknologi moden yang penuh dengan sistem nilai.
Ketika British menjajah Tanah Melayu, sistem pendidikan sekular diperkenalkan secara beransur-ansur. Sistem pendidikan tradisi yang penuh gemilang sebagai lanjutan warisan Islam dipinggirkan penjajah. Sekolah misionari diperkenalkan untuk memantapkan sistem British di negara ini. Pemisahan ilmu daripada agama kian bertapak dalam masyarakat tempatan yang dijajah. Apabila sekolah vernakular Melayu dibuka, sistem sekularisme diperkenalkan pula untuk menggantikan sistem pendidikan tradisi Islam. Sistem pendidikan sekular penjajah bukan bermaksud untuk memberi pendidikan sebenarnya, namun sekadar melepas tugas penjajahan dalam pendidikan asas.
Menuntut ilmu sebagai ibadah dan kefarduan agama yang diamalkan dalam sistem tradisi diganti dengan ilmu sebagai persediaan mendapat kerjaya semata-mata. Menuntut ilmu sebagai amanah dan panduan hidup ditukar secara beransur-ansur kepada ilmu sebagai bahan komoditi. Apabila kemerdekaan negara dicapai, namun kemerdekaan diberikan dengan penuh syarat oleh British dimeja ”perundingan”. Sistem pendidikan secara sekular terus dikekalkan sebagai lanjutan kepada sistem era penjajahan. Dalam sistem Barat, kecintaan dan pencarian ilmu kerana ibadah tidak relavan sama sekali. Ilmu moden khususnya sains yang diperkenalkan dalam sistem yang sama bermatlamatkan teknologi semata-mata.
Selama 50 tahun selepas kemerdekaan negara meneruskan sistem pendidikan acuan sekularisme yang memisakan pelajar dalam bidang yang tidak bersepadu seperti aliran sains, sastera, agama dan teknik. Sistem pendidikan tinggi negara turut mengamalkan konsep yang sama, malah lebih menonjol lagi, pelajar dipisahkan dalam pengkhususan mereka sejak awal lagi. Kesepaduan ilmu seperti yang diamalkan dalam epistemologi ilmu Islam kelihatannya menjadi kenangan silam yang terpinggir jauh daripada pendidkan moden. Pelajar yang memasuki pengajian tinggi hanya sekadar mengejar ijazah semata-mata tanpa konsep penghayatan ilmu, apatah lagi untuk mencintainya. Kita mengambil sistem pendidikan Barat tanpa sebarang tapisan. Ilmu diajar secara bebas nilai, bebas budaya apatah lagi keimanan.
Seperti Barat, banyak negara umat Islam hanya mementingkan pembangunan fizikal semata-mata tanpa penekanan pembangunan yang seimbang. Dalam paradigma ini sains dan teknologi diajar secara terpisah daripada konsep ilmu sebagai ibadah dan iman. Walaupun demikian, adakah kita mencapai kemajuan sains dan teknologi seperti yang dicapai di Barat? Hakikatnya khusus dalam bidang sains dan teknologi misalnya negara umat Islam jauh tertinggal ke belakang. Andainya kita dikemukakan pertanyaan yang berikut: Berapa ramaikah pemikir Islam moden kini yang pernah menerima Hadiah Nobel yang melambangkan kecemerlangan pemikiran saintifik atau sumbangan sejagat yang lain?
Hakikatnya, tidak ramai pemikir Islam yang mendapat pengiktirafan tersebut. Antara nama dalam senarai yang kecil ini termasuklah Abdul Salam (1979, fizik), Ferid Mourad (1998, perubatan), Ahmad Zewail (1999, kimia) dan Sherin Ebadi (hak asasi, 2003) Mohamaed ElBaradei (2005, keamanan). Pemenang terakhir hadiah itu ialah Mohamaed ElBaradei, 2005).
Namun adakah mereka mewakili saintis atau pemikir Islam sejati? Abdus Salam sebenarnya pengikut Ahmadiyyah. Ferid Murad walaupun ayahnya seorang Islam dari Albania tetapi beliau sendiri cenderung kepada pemikiran Episkopalian. Pemilihan Sherin Ebadi misalnya sebagai pemenang Hadiah Nobel yang dikaitkan dengan kegiatannya memperjuangkan hak kanak-kanak Iran, lebih merupakan sikap anti-Islam beliau yang ditunjukkan kepada dunia. Beliau mendakwa Islam seharusnya selari dengan demokrasi moden. Beliau menunjukkan sikapnya yang sinis terhadap para ulama.
Naguib Mahfouz yang memenangi hadiah Nobel kerana penulisan novel dianugerahkan kerana beliau ialah tokoh sasterawan yang mempersoalkan kewajiban syariat Islam itu sendiri. Beliau dikecam oleh seluruh ulama muktabar dunia Islam.
Berbanding dengan penerima anugerah Hadiah Nobel dari kalangan pemikir Yahudi, misalnya yang berjumlah melebihi 170 saintis yang menerima pengiktirafan tersebut sepanjang kurun ke-20, maka kita dapat sedikit gambaran betapa kedudukan para pemikir Islam dalam ilmu yang berkaitan akliah moden. Apapun alasan yang mungkin kita berikan terhadap fenomenon tersebut, namun satu perkara yang pasti ialah umat Islam tertinggal jauh dalam pemikiran saintifik hari ini berbanding masyarakat bukan-Islam.
Demikianlah gambaran kehidupan masyarakat Islam hari ini. Sejarah kegemilangan yang pernah ditempa umat terdahulu tidak benyak memberi makna tanpa usaha dalam setiap masyarakat Islam untuk membangun kembali penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang sama ada ilmu warisan Islam atau ilmu yang berkaitan dengan sains teknologi semasa. Adakah masyarakat hari ini menjadikan ilmu sebagai sebahagian kegiatan ibadat dan budaya hidup, atau hanya menganggap ilmu sebagai bahan dagangan semata-mata?


Ilmu Sebagai Bahan Komoditi?

Sistem pendidikan negara ini berkembang pesat sejak kemerdekaan negara. Pusat pengajian tinggi mula terbina dan cendekiawaan Melayu mula bertambah. Akhir-akhir ini pelajar luar negara mula mengalih pandangan ke negara ini, apabila Malaysia turut dikenali sebagai negara yang mempunyai sistem pendidikan yang baik. Negara perlu bersedia menerima pelajar dari seluruh dunia dalam dekad terdekat. Ada di antara institusi pengajian tinggi negara yang telah tersenarai antara 100 universiti terbaik dunia. Akan tetapi sayang, kemurniaan ilmu sebagai sinar petunjuk yang dikaji secara ikhlas untuk pembangunan fizikal dan spiritual secara bersepadu, bertukar menjadi “ilmu sebagai komoditi negara”. Ilmu diperdagangkan seperti bahan komoditi. Adakah k-ekonomi memenuhi aspirasi epistemologi Islam, atau menyimpang jauh daripada konsep ini?
Adakah kepentingan perdagangan berteras ilmu[12] turut merangkumi kegiatan menimba ilmu itu sendiri? Adakah kolej swasta sanggup mengeluarkan pelajar yang gagal di institusi tersebut, dengan andaian bahawa setiap bilangan pelajar itu ialah aset utama mereka? Adakah mutu akademik akan terjamin menerusi amalan tersebut?
Adakah dasar perdagangan berteras ilmu mampu mengekalkan disiplin ilmu agama, kemanusiaan, tamadun, falsafah, sejarah, kemasyarakatan, pemikiran dan seumpamanya dalam perkembangan akademik, apabila kerajaan mengisytiharkan bahawa disiplin ilmu yang boleh dikomersialkan akan diberi keutamaan dalam sistem pendidikan tinggi? Adakah kita dapat bayangkan suatu masa nanti yang negara mempunyai saintis dan teknokrat yang terbilang dalam bidang teknologi, tetapi miskin jiwanya dari segi kemanusiaan atau pincang kejiwaannya dari segi kemasyarakatan? Sesebuah tamadun menyaksikan kecemerlangan ilmu dalam pelbagai disiplin sama ada ilmu berbentuk teknologi atau asas, agama atau pemikiran, falsafah atau kemanusiaan.
Pendidikan ialah bidang yang paling penting dalam sesebuah negara. Tanpa pendidikan, negara akan bergerak ke belakang khususnya dari segi etika dan akhlak. Adakah sistem kita berkesan ke arah pembentukan sakhsyiah pelajar yang terterap secara terancang dalam kurikulum pendidikan? Jika benar, tentulah indeks kecemerlangan akhklak boleh diukur secara umumnya daripada jangkamasa pengajian mereka. Semakin lama mereka berada dalam sistem pendidikan, maka semakin cemerlang akhlak hendaknya. Adakah harapan ini menjadi kenyataan apabila kita mengetahui hakikat yang dipaparkan dalam media massa bercanggah dengan hasrat ini?
Adakah pelajar kita ikhlas dalam ilmu khususnya apabila mereka mendaftar sebagai pelajar kolej atau universiti? Atau ijazah semata-mata menjadi hasrat mereka tanpa mengira ilmu sebagai penyuluh kebenaran? Sesetengah universiti terpaksa mengistiharkan slogan “amanah terhadap ilmu” kerana pelajar didapati tidak amanah lagi dalam pencarian ilmu. Mereka melakukan penipuan dalam ujian, tugasan dan peperiksaan. Matlamat mereka hanyalah gred yang baik semata-mata dengan pelbagai kaedah yang tidak beretika. Mereka lupa betapa gred yang diperoleh menerusi penipuan, mengasilkan ijazah yang palsu, dan andainya ijazah yang palsu digunakan untuk mendapat kerjaya maka hasil pendapatan bulanannya pun palsu. Adakah generasi berakhlak mampu dilahirkan menerusi pendapatan yang palsu atau haram itu?
Andainya, keikhlasan dan amanah tidak dapat dihayati ketika menjadi pelajar, adakah kita mengharapkan pelajar yang sama bersikap amanah ketika melaksanakan kerjayanya kelak?
Adakah budaya ilmu dan kecendikiawanan menjadi matlamat pendidikan negara? Jenerasi muda lebih mudah terpengaruh dengan tokoh selebriti berbanding dengan para ilmuwan negara. Para selebiri digambarkan golongan yang berjaya dalam masyarakat, dengan kemewahan hidup. Adakah negara mengharapkan selebriti akan menjadi contoh ikutan jenarasi muda? Tokoh ilmuwan terpinggir dalam arus perkembangan pemikiran masyarakat, kecuali perbincangan tertutup di kalangan ahli akademik. Adakah cita-cita negara yang berhasrat untuk mendokong budaya ilmu dan budaya berfikir secara mendalam di kalangan masyarakat, boleh diwujudkan dalam suasana ini?
Ibu bapa dan guru secara umumnya mengukur kecemerlangan anak mereka menerusi keputusan peperiksaan semata-mata, walaupun syaksiahnya tidak seimbang dengan akademik yang dimilikinya. Ada sekolah yang terpencil yang dilaporkan menghalang pelajar lemah menduduki peperiksaan, kerana dibimbangi pelajar berkenaan akan menurunkan peratus kecemerlangan sekolah yang berlumba mendapat status cemerlang menerusi indeks keputusan peperiksaan awam.
Adakah kita sudah berpuashati dengan pencapaian akhlak pelajar yang dihasilkan sistem pendidikan negara yang kemudiannya terlibat dengan pelbagai kerjaya seperti kejuruteraan awam, peguam, doktor, akauntan, guru, pensyarah, tokoh politik, ahli ekonomi, arkitek, pegawai kerajaan, dan seumpamanya?
Media tempatan sering memaparkan pelbagai kepincangan etika yang berlaku dalam masyarakat yang digambarkan oleh gejala pecah amanah, penyelewengan pegawai, rasuah di kalangan pemimpin, kontraktor yang tidak beretika, keruntuhan jambatan dan bangunan, dan seumpamanya yang dilakukan golongan prefesional negara. Gejala ini merupakan sebahagian produk sistem pendidikan kita. Akhlak ialah cabang keimanan, dan akhlak tidak akan muncul tanpa keimanan. Adakah sistem pendidikan kita menjadikan keimanan sebagai matlamat utama, seperti yang tertera dalam Rukun Negara?
Adakah kita berpendirian bahawa masalah akhlak tidak harus dicampuradukkan dengan akademik kerana tugas guru dan pensyarah hanyalah untuk akedemik sahaja? Falsafah Barat memang mengasingkan kedua-dua persoalan penting itu dalam bentuk pendekatan sekularisme. Barat hanya menyebut persoalan disiplin, bukan akhlak, adab atau etika. Adakah pendekatan ini sesuai pula dengan budaya negara yang diasuh sejak zaman berzaman supaya bersopan santun, dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan sejagat? Adakah kita menganggap persoalan akhlak bukan persoalan sistem pendidikan tetapi persoalan itu merupakan persoalan ibubapa yang mengawal setiap keluarga? Tidakkah kita sedar bahawa ibubapa yang manakah yang tidak terikat dengan sistem pendidikan negara ketika remajanya yang membentuk peribadi mereka sebelum menjadi ibubapa?
Marilah kita bayangkan kehidupan masyarakat kita yang penuh kesopanan dan beradab murni penuh ketertiban, sebelum era penjajahan yang memperkenalkan pelbagai fahaman ke arah dualisme dan materialisme. Kita bayangkan secara umumnya, semangat kerjasama, tolong menolong, ziarah menziarahi, nasihat menasihati, serta mengamalkan budaya kemasyarakatan penuh sopan lagi murni. Aktiviti kemasyarakatan dilakukan secara jujur dan ikhlas yang tidak menjadikan materialisme sebagai timbang-taranya. Perbualan dan ungkapan kata disusun secara bersopan dan merendah diri, penuh beradab serta menghormati susun galur institusi kekeluargaan. Jenerasi muda menghormati jenerasi tua dan berilmu… dan ketika itu, negara kita masih mundur dalam teknologi.
Barat mengamalkan konsep profesionalisme dalam kerjaya mereka. Ada penulis yang menjadikan fahaman ini sebagai kerjaya dalam penulisan mereka lalu menjadikan kebendaan sebagai pertimbangan akhir semua aktiviti sebagai timbangtara kepakaran yang ada pada dirinya. Adakah konsep ini wajar diamalkan oleh seorang penulis Islam apabila kita mengetahui bahawa penyebaran ilmu merupakan tanggungjawab agama dan tujuan asal menuntut ilmu sebagai ibadat dapat ditukarganti dengan tuntutan profesionalisme? Kita juga mengetahui betapa ilmuwan Islam silam tidak menjadikan hak cipta terpelihara sebagai amalan, tetapi menggalakkan karya mereka disalin dan disebar tanpa mengharapkan sebarang tukaran kebendaan? Dalam konteks ini, adakah kita boleh temui penerbit yang ikhlas yang melakukan penerbitan dengan menjadikan keuntungan berpatutan yang minimum sebagai wasilah untuk meneruskan khidmat penyebaran ilmu? Demikian pula konsep kerjaya seorang Muslim yang memerlukan gaji atau pendapatan untuk berkhidmat tetapi mereka tidak berkhidmat untuk gaji semata-mata. Hal ini bolehlah dibandingkan bahawa kita perlu makan untuk hidup, tetapi kita bukan hidup untuk makan.
Ahli akedemik universiti merupakan golongan yang bergiat secara langsung dalam bidang ilmu pengetahuan. Penulisan karya asli daripada golongan ini sangat diharapkan oleh seluruh masyarakat. Walaupun penulisan dalam jurnal antarabangsa yang mempunyai indeks carian dianggap simbol intelek seseorang penyelidik serta menjadi kriteria kenaikan pangkat, namun isi penyelidikan yang sama boleh dipersembahkan dalam penulisan yang lebih mudah dicapai khususnya dalam bentuk karya ilmiah yang asli. Bayangkan andainya seorang pensyarah menghasilkan hanya satu karya ilmiah asli dalam bidang kemahirannya sepanjang kerjayanya sebagai pensyarah, tentu kita sudah mempunyai timbunan karya sedemikian dalam pasaran dan perpustakaan. Alangkah baiknya masa yang terluang selepas seseorang bersara misalnya dijadikan masa untuk menulis karya ilmiah setelah sejak sekian lama menghadamkan ilmu dalam kuliah bersama siswa siswi. Karya ini diharapkan menggambarkan kemuncak ilmu pengetahuan penulisnya.
Ada di kalangan cendikiawan seperti pensyarah yang merasakan diri mereka bebas daripada ilmu setelah bersara. Bagi golongan ini, ilmu hanya sekadar untuk berkerjaya. Umur yang mereka gunakan untuk mendapat ijazah tinggi berakhir dengan berakhirnya kerjaya. Berapa ramaikah golongan cendikiawan kita yang menganggap menuntut ilmu merupakan kefarduan, amanah dan tanggungjawab yang dilaksanakan sepanjang hayat? Sungguh malang apabila kita menyaksikan golongan ini ada yang menamatkan ayat akhir ilmu mereka setelah persaraan. Ada yang meninggalkan fail ilmu mereka di luar bilik untuk dimusnahkan setelah bersara. Sikap mereka dikuti secara rapat oleh pelajar asuhan mereka pula.
Ramai pelajar universiti turut mempamerkan sikap yang sama. Apabila tamat peperiksaan akhir universiti, mereka bersorak riang kerana bebas daripada tugasan ilmu buat selama-lamanya. Apabila perolehi ijazah maka berakhirlah kegiatan ilmu mereka. Mereka meninggalkan nota kuliah di luar dewan apabila peperiksaan sebagai lambang kemerdekaan mereka daripada ilmu. Rupa-rupanya mereka mempelajari ilmu secara terpaksa, bukan secara sukarela dan penuh kecintaan ilmu. Keuntungan duniawi yang dijadikan matlamat keilmuan genarasi pelajar moden tidak mengizinkan kita untuk membudayakan ilmu, apatah lagi penghayatannya dalam masyarakat.


Ilmu Sebagai Asas Pembangunan Seimbang

Malaysia sebagai negara yang sedang membangun pesat turut berkembang bersama pencapaian teknologi sejagat. Sektor perkilangan dan perusahaan berkembang sangat cepat. Pembinaan lebuh raya dalam era 1980-an mencatatkan perubahan infrastruktur sistem lebuh raya dan perhubungan darat. Teknologi maklumat berkembang pesat dalam era 1990-an apabila rangkaian jaring dan laman sawang mula diperluaskan penggunaannya. Ekonomi negara yang berubah mengikut perubahan ekonomi dunia turut mempengaruhi aktiviti masyarakat setempat. Sistem pendidikan yang terbuka luas menerusi sekolah, kolej serta universiti awam dan swasta yang menawarkan pelbagai kursus akademik dan profesional mengubah lanskap pendidikan negara. Peranan teknologi komunikasi elektronik turut menyumbang kepada perubahan kehidupan masyarakat di negara ini. Sempadan geografi negara terbuka luas dan Malaysia telah membuka langitnya seluas-luas untuk teknologi angkasa dan perhubungan moden
Dalam penyelidikan saintifik pula, kerajaan menggalakkan kajian penyelidikan yang menghasilkan teknologi segera, sedangkan penyelidikan ilmu bermula dengan sains asas atau sains fundanmental yang biasanya tidak memperlihatkan gunaan segera. Teknologi tidak mungkin terhasil tanpa kajian sains fundamental yang berbentuk teori. Bahkan pemenang Hadiah Nobel pun biasanya dimenangi oleh saintis yang terlibat dengan kajian sains teori dan fundamental. Negara yang mengabaikan saintis fundamental tidak mungkin menghasilkan teknologi yang asli, kecuali sebagai pengguna teknologi semata-mata.
Negara yang sedang membangun tidak dapat mengelak diri daripada menggunakan sumber alam anugerah Ilahi sebaik mungkin. Kawasan hutan perlu diterokai untuk dijadikan kawasan pertanian baru. Kawasan bukit bukau harus diterokai untuk pembinaan lebuh raya merentasi pantai ke pantai, atau barat ke timur, utara ke selatan. Sistem lebuh raya yang baik akan membantu perhubungan masyarakat serta pertumbuhan ekonomi negara. Namun adakah kelestarian alam sekitar dapat dipertahankan dengan penuh etika? Syarikat yang membina lebuh raya pula, akan mengenakan tol tertentu di atas usaha mereka membelah bukit dan lurah untuk tujuan pembinaan lebuh raya tersebut. Kutipan tersebut boleh dijustifikasikan. Akan tetapi, ada pula jalan raya yang telah tersedia yang dibina dengan dana rakyat dan negara, tetapi kemudiannya dinaiktaraf menjadi lebuh raya yang lebih luas, oleh syarikat tertentu di bawah sistem pengswastaan, maka penggunanya dikenakan tol yang sama kadarnya seperti pembinaan lebuh raya yang baru, sedangkan sebahagian lebuh raya itu telah dibina oleh kerajaan dengan wang rakyat.
Penggalian minyak dan petrol menjanjikan hasil negara yang sangat lumayan. Pesisir negara ini telah ditakdirkan mempunyai sumber galian yang sangat berharga itu. Teknologi stelit aeroangkasa mempu menerokai kawasan yang menyimpan khazanah bumi, lalu negara akan terdedah kepada kolonialisme moden dalam bentuk penjajahan ekonomi serta campurtangan negara luar yang rakus dengan sumber tersebut. Ada negara besar yang sengaja menimbulkan suasana politik yang tidak stabil sebagai helah untuk menguasai sumber alam negara tersebut.
Adakah sektor pertanian akan mengalami zaman menurun apabila negara sedang menyediakan infrastruktur ke arah teknologi super koridor yang melepasi sempadan geografi? Adakah negara akan mengalami suasana selesa dengan penekanan ke arah teknologi fizikal perkilangan, tanpa teknologi pertanian atau bioteknologi berasas makanan? Kita menyaksikan betapa sukarnya masyarakat hidup dalam era peperangan apabila makanan tidak mencukupi, sedangkan ketika suasana keamanan berpanjangan kita tidak menekankan keupayaan sendiri menyediakan makanan asasi rakyat? Teknologi pertanian perlu dibangunkan selayaknya sesuai dengan tradisi pertanian yang menjadi sebahagian identiti negara sejak zaman berzaman.
Teknologi biologi dan kimia menempa pencapaian luar biasa kurun ke-21 ini. Kehidupan masyarakat yang berdepan dengan teknologi ini dipengaruhi pula oleh system etika. Pencapaian sains dalam kejuruteraan baka, percantuman ovum di luar rahim, permasalahan ibu tumpang, pengklonan dan seumpamanya bukan sahaja berkaitan dengan persoalan teknologi, tetapi melibatkan pula persoalan etika.
Kita pernah mendengar berita di luar negara bahawa jenayah dikaitkan pula dengan transplan dan pemindahan organ. Desakan kewangan menimbulkan masalah jenayah. Ada orang berada yang bercita-cita mengklon dirinya sendiri untuk tujuan tersebut apabila pemindahan organ diperlukan.
Masyarakat Islam sangat peka dengan persoalan halal dan haram makanan. Adakah proses bioteknologi yang canggih akan kekal memelihara baka haiwan yang murni tanpa dicampur adukkan haiwan yang halal seperti kambing dengan haiwan yang haram seperti anjing, apabila kita mengetahui ada kacukan antara haiwan seladang dengan lembu berjaya dilakukan?[13]
Adakah penggunaan arak yang meluas dalam masyarakat majmuk negara dianggap sebagai suatu konsep demokrasi dan toleransi hidup masyarakat, sedangkan statistik sering dipaparkan yang menghubungkan jeyayah dengan minuman tersebut? Semua masyarakat dunia bersetuju bahawa pemandu yang mabuk di lebuh raya mendedahkan dirinya kepada kemalangan nyawa diri sendiri serta pengguna yang lain. Ada syarikat penerbangan yang menyediakan minuman arak secara percuma dalam penerbangan mereka kerana kos tersebut telah dimasukkan dalam harga asas tiket. Maka sama ada seseorang itu minum atau tidak minuman keras dalam penerbangan tersebut, namun ia pada hakikatnya telah terlibat dalam urusniaga arak.
Ahli ekonomi sepakat menyatakan bahawa dasar kapitalisme dalam ekonomi ialah dasar Barat yang lahir bersama dengan dasar kolonialisme. Apabila kolonialisme berakhir dalam bentuk penjajahan fizikal, adakah saudaranya kapitalisme liberalisme harus dikembangkan dalam negara yang cintakan keadilan? Dasar riba dan interest ialah sebahagian dasar liberalisme kapitalisme.[14] Syarikat yang besar akan menekan syarikat yang kecil berdasar sistem kapitalisme yang terbuka tanpa mengambil kira tanggungjawab sosial dan kemanusiaan yang mungkin ditanggung oleh individu pengguna. Yang kuat akan menang dan yang lemah akan kalah, dan ini ialah sebahagian daripada konsep Darwinisme.[15]
Apabila syarikat luar yang membuka premis perniagaan seperti restoran makanan segera misalnya, di negara ini, mereka dikenakan cukai tertentu oleh kerajaan, tetapi cukai tersebut akan dibebankan kembali ke atas masyarakat apabila syarikat memasukkan cukai tersebut ke dalam bil pengguna yang menjadi pelanggannya, sedangkan mengikut falsafah asal, cukai tersebut seharusnya ditanggung syarikat berkenaan.
Teknologi komunikasi elektronik seperti televisyen sering menyiarkan rancangan popular jenerasi muda yang menonjolkan kemewahan hidup yang tidak seimbang dengan kekayaan jati diri dan budi akhlak, pada dasarnya, lebih menimbulkan kesan negatif daripada positif? Golongan berjaya sering digambarkan oleh seniman gagah atau seniwati genit yang mampu memiliki rumah kediaman yang besar, terpencil dan tersisih daripada masyarakat bawahan. Rancangan yang meracuni nilai budi jenerasi muda negara tersebar luas dengan keterbukaan angkasa negara. Alangkah mudahnya badan penyiaran yang terlibat mengawal bentuk filem yang membina syaksiah masyarakat dalam penyiaran mereka, daripada berharap ibu bapa yang mengawalnya untuk keluarga masing-masing? Bolehkah ibu bapa mengawal keluarganya di dalam dan di luar rumah, daripada dasar langit terbuka, kalau tidak wibawa kerajaan yang mengendalikannya dengan penuh ikhlas.
Kerajaan menentang amalan merokok kerana amalan tersebut berlawanan dengan dasar kesihatan dan ekonomi. Namun syarikat rokok terus mempunyai peranan dalam perkilangan, penajaan dan kemasyarakatan.
Sistem piawaian ISO bertujuan untuk meningkatkan kualiti serta produk sesuatu perusahaan. Mutu perkilangan seperti minyak kelapa sawit misalnya, seharusnya mematuhi piwaian tertentu dari segi mutu dan khasiat minyak tersebut sebelum dipasarkan ke pasaran terbuka. Ini suatu kawalan kualiti yang baik. Namun dalam masa yang sama, pekerjanya harus turut diberi perhatian yang melibatkan kebajikan pekerjanya, pencemaran yang dilakukan akibat pelepasan sisa kilang ke sungai atau asap ke udara. Piawaian seharusnya membawa kebaikan menyeluruh sedangkan piawaian dari segi falsafah asalnya adalah ke arah mengawal barangan yang tidak disukai kapitalis tertentu dalam pasaran terbuka, khususnya di Barat, lalu konsep tersebut dapat mengawal kepentingan ekonomi mereka daripada lambakan komoditi yang mereka tidak sukai, atau barangan yang datang dari negara yang mereka tidak sukai.
Paparan senario seperti yang di atas memperlihat dan menghubungkan kesepaduan ilmu, akhlak dan amanah dalam pembangunan masyarakat. Intelek semata-mata tidak menjamin pembangunan negara secara seimbang. Intelek semata-mata tidak mampu membina peradaban insaniah, bahkan gandingan antara akhlak dan budaya ilmu menjadi asas pembangunan yang seimbang dan bersepadu.


Budaya Ilmu

Peradaban ialah tamadun ilmu. Tamadun yang sebenarnya melibatkan tamadun pemikiran, akhlak dan ilmu seperti yang berlaku dalam tamadun Islam. Tamadun kebendaan dan ketenteraan boleh disaksikan mislanya dalam tamadun Rom. Rom di bawah pimpinan geraja dan raja bangsa menyekat perkembangan ilmu pengetahuan tetapi menumpu kepada kekuatan bala tentera untuk memperluaskan pengaruh politik. Rakyat Rom yang terlibat dengan ilmu yang tidak mendapat pengiktirafan gereja diperlakukan secara zalim dengan pelbagai penyeksaan. Tamadun tanpa peradaban ilmu tidak akan kekal lama. Tamadun teknologi tanpa sistem nilai pun tidak dapat bertahan lama. Tamadun Rusia yang berpaksi atheisme-komunisme hanya mampu bertahan selama 70 tahun sahaja apabila tamadun itu jatuh pada sekitar tahun 1970 yang lalu. Amerika perlu belajar daripada kejatuhan Rusia andainya Negara besar itu mengabaikan system nilai dalam pembinaan sains dan teknologi moden mereka.
Tamadun kemanusiaan melibatkan pembangunan kedua-dua aspek fizikal dan spiritual secara selari dan sepadu. Tamadun teknologi tanpa system nilai lebih mengundang kepada bencana teknologi seperti yang digambarkan dalam teknologi senjata peperangan. Teknologi dalam tamadun kemanusiaan membawa kepada kebaikan sejagat bukan sebaliknya. Jiwa manusia perlu dididik dengan pendidikan dan ilmu. Jiwa yang sejahtera menghasilkan sains dan teknologi yang sejahtera.
Ilmu membina insan, manakala insan membina tamadun dan peradaban. Budaya ilmu harus dipupuk dalam negara yang mempunyai matlamat untuk membina tamadun yang berasaskan ilmu. Budaya mengkaji, menganalisis, menulis dan membaca menjadi perkara pokok dalam pembinaan masyarakat berilmu. Kita ringkaskan perbincangan yang lepas ke dalam bentuk pertanyaan yang berikut, yang memerlukan jawapan yang ikhlas yang datang dari lubuk hati seseorang:

Adakah membaca menjadi budaya di kalangan penduduk Negara ini? Apakah aktiviti masyarakat kita yang dapat kita perhatikan ketika mereka berehat pada waktu petang atau menikmati tiupan angin di tepi pantai? Adakah membaca dalam suasana sedemikian menjadi amalan?

Berapa peratuskah purata pendapatan bulanan penduduk negara ini digunakan untuk membeli buku atau bahan bacaan ilmiah?

Apakah proses pembelajaran sepanjang hayat berlaku dalam kalangan masyarakat apabila kita tahu pelajar universiti yang tamat peperiksaan akhir tahun pengajian, mereka bersorak gembira kerana mereka telah bebas daripada ilmu? Tidakkah kita perhatikan mereka meninggalkan nota dan catatan kuliah di luar dewan apabila mereka selesai peperiksaan seolah-olah ilmu hanya berfungsi dalam peperiksaan sahaja?

Bagi golongan terpelajar pula, adakah akhlak yang ditunjukkan selari dengan ilmu yang dimiliki? Adakah bilik kuliah dan proses pembelajaran menjadi taman yang nyaman dan mengasyikkan atau sebagai penjara yang menyeksakan bagi pelajar kita? Adakah mereka belajar dengan penuh rasa kecintaan ilmu atau dengan segala keterpaksaan, tanpa kerelaan sejati?

Adakah sikap jujur terhadap ilmu tertanam kukuh dalam jiwa pelajar yang dihasilkan oleh sistem pendidikan kita apabila kita mengetahui fenomena meniru dan mengelat dalam peperiksaan sering berlaku dalam peperiksaan rasmi setiap peringkat pengajian? Sedarkah bahawa meniru dalam peperiksaan menghasilkan markah yang palsu, gred yang palsu dan ijazah yang palsu seterusnya kerjaya yang palsu dan pendapatan yang palsu. Palsu dalam konteks agama maksudnya haram. Bayangkan tamadun yang akan dibina didasar kepada asas yang palsu.

Pendidikan ialah bidang yang paling penting dalam sesebuah negara. Tanpa pendidikan, negara akan bergerak ke belakang khususnya dari segi etika dan akhlak. Adakah sistem kita berkesan ke arah pembentukan sakhsyiah pelajar yang terterap secara terancang dalam kurikulum pendidikan? Adakah harapan ini menjadi kenyataan apabila kita mengetahui hakikat yang dipaparkan dalam media massa bercanggah dengan hasrat ini? Adakah intelek dan akhlak telah berpadu erat dalam kurikulum? Adakah kurikulum tersebut dijelmakan pula ke dalam penulisan teks?

Generasi muda lebih mudah terpengaruh dengan tokoh selebriti berbanding dengan para ilmuwan negara. Para selebiri digambarkan golongan yang berjaya dalam masyarakat, dengan kemewahan hidup. Adakah negara mengharapkan selebriti akan menjadi contoh ikutan generasi muda? Tokoh ilmuwan terpinggir dalam arus perkembangan pemikiran masyarakat, kecuali perbincangan tertutup di kalangan ahli akademik. Adakah cita-cita negara yang berhasrat untuk mendokong budaya ilmu dan budaya berfikir secara mendalam di kalangan masyarakat, boleh diwujudkan dalam suasana ini?

Adakah sikap cntakan ilmu tertanam kukuh dalam jiwa pensyarah dan tenaga akedemik universiti apabila apabila kita memerhatikan sebaghagian mereka apabila bersara maka berakhirlah kegiatan akedemik mereka?

Adakah sikap mencari ilmu didasari rasa keikhlasan sebagai ibadat di kalangan tenaga akedemik apabila kita memerhatikan ada dalam kelangan mereka cukup bergiat menghasilkan penulisan ilmiah sewaktu awal kerjaya mereka dan berhenti secara tiba-tiba apabila mereka sudah dinaikkan pangkat yang dihajati?

Berapa ramaikah dalam kalangan ilmuwan kita yang menguasai lebih dari bidang pengkhususan mereka? Berapa ramaikah dalam kalangan kita menikmati masa mereka menjalani tanggungjawab sebagai penuntut ilmu bebanding ketika mereka berkerjaya? Andainya mereka diberi pilihan untuk belajar atau berkerjaya, adakah mereka tidak ragu-ragu memilih untuk ingin terus belajar sepanjang hayat atau belajar sambil berkerjaya atau mengucapkan selamat tinggal kepada ilmu buat selama-lamanya?

Menyebarkan ilmu menjadi kewajipan bagi mereka yang mempunyai keupayaan berbuat demikian. Penulisan adalah satu bentukpenyebaran ilmu. Adakah kita ikhlas dalam penyebaran ilmu apabila kita mengetahui ada pengarang yang begitu marah apabila karya mereka dibuat salinan foto oleh pelajar atau khalayak awam tanpa membeli naskhah asal seolah-olah mereka menulis bertujuan untuk mendapat royalti semata-mata? Adakah kita tidak sedar bahawa karya ulama silam disalin generasi demi generasi silih berganti tanpa sebarang “hak cipta terpelihara”? Apakah kita tidak sedar semakin luas karya mereka disalin secara percuma mereka mendapat kebaikan yang berpanjangan sebagai amalan al-baqiat al-salihat?

Penulisan karya asli dan budaya membaca masyarakat mempuyai kaitan yang rapat; yang satu menyokong yang lainnya. Pada tahun 1985 Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) ditubuhkan dalam usaha memperkuatkan hubungan antara kedua-dua aspek ini. Dewan Bahasa dan Pustaka perlu diberi pujian di atas usaha gigih badan tersebut memainkan peranan sejak 1956 untuk memperkasakan bahasa dalam penulisan ilmiah yang hasilnya boleh kita saksikan pada hari ini. Badan ini berusaha menerbitkan semua kategori penulisan yang menjadi symbol kegiatan ilmiah negara. Malaysia sedang giat menghasilkan penerbitan buku yang bertambah bilangan judulnya saban tahun. Namun agak kurang mengembirakan apabila karya asli ilmiah pertambahannya tidak begitu memberansangkan.
Penerbit setiap universiti awam negara turut mengambil peranan yang sama kearah penerbitan buku ilmiah khususnya buku teks dan rujukan yang berkaitan kursus yang ditawarkan di universiti. Pujian harus diberikan kepada penerbit-penerbit Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia yang terkedepan dalam penerbitan karya ilmiah para ilmuwan tanah air dalam acuan Malaysia atau menghampiri cita rasa tempatan.
Adakah penerbit swasta turut mengambil peranan yang sama dalam penerbitan karya ilmiah apabila kita mengetahui bahawa pasaran bagi buku ilmiah tidak boleh menandingi pasaran karya polular? Adakah tanggungjawab sosial di kalangan penerbit swasta yang tentunya aspek keuntungan menjadi pertimbangan mereka secara umumnya, dapat membantu ke arah penyuburan penghasilan karya ilmiah? Persoalan ini berkait rapat dengan system nilai yang dipegang oleh setiap penerbit terlibat.
Masyarakat pertengahan sanggup berbelanja besar untuk peralatan mewah dalam rumah atau pejabat, tetapi adakah sikap kita serupa ke arah pembelian karya ilmiah? Adakah rumah yang dibina pemaju mengambilkira untuk mengkhusus satu ruangan khas bagi memuat ruang perpustakaan mini atau koleksi buku? Adakah mudah untuk kita bertemu dengan kedai buku ilmiah dalam sesebuah pekan atau Bandar? Pernahkah kita bertemu tempat tumpuan awam seperti perhentian rehat lebuh raya atau stesyen petrol mempunyai ruangan penjualan buku ilmiah terkini di pasaran?
Pameran dan pesta buku sama ada peringkat ebangsaan dan antarabangsa memberi indeks yang bermakna kepada pembinaan masyarakat berilmu di negara ini. Setiap pameran tersebut dikunjungi oleh ramai pengunjung yang jumlahnya ada kalanya mencapai angka juta. Jumlah ini disedari apabila akhbar biasa menyiarkan berita tentang pemberian hadiah kepada pengunjung ke-1,000,000. Peristiwa itu berlaku ketika pameran sedang rancak berlangsung yang menujukkan bilangan pengunjung sebenarnya jauh melepasi angka tersebut. Ini petunjuk yang baik kea rah itu.
Akan tetapi, karya asli tempatan hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah buku yang dipamerkan. Pembinaan intelek menerusi jumlah longgokan buku di pasaran tidak membimbangkan kita dalam suasana tersebut, tetapi apa yang kita tekankan di sini adakah pembinaan intelek menerusi pembacaan buku-buku tersebut selari dengan pembinaan syaksiah dan rohani masyarakat apabila tahu bahawa kebanyakan buku ditulis dalam paradigma pemisahan antara intelek dan kerohanian? Semoga soalan akhir ini turut menjadi renungan bersama.
Jawapan secara ikhlas kepada soalan yang di atas membantu kita untuk melihat masa depan peradaban yang dibincangkan di sini. Atau adakah slogan pembinaan tamadun berasas peradaban sekadar retorik semata-mata?


Penutup: Epilog

Masyarakat dunia kontemporari, khususnya dunia Barat mencapai kemajuan ilmu yang sangat pesat. Teknologi mereka mencapai angkasa raya. Pencapaian mereka dalam tenologi mikro nano sub-atom hingga ke setelit canggih alam makro galaksi, menyaksikan pencapaian teknologi ilmu yang belum pernah dibayangkan sebelum ini. Sesungguhnya mereka benar-benar berjaya mengkaji rahsia alam semesta dalam setiap bidang ilmu. Namun, dari sudut yang lain pula, kita turut menyaksikan mereka mengalami pelbagai krisis kejiwaan yang besar. Di sebalik pencapaian indeks ekonomi yang cemerlang, mereka turut menghasilkan indeks keruntuhan nilai kemanusiaan yang parah. Di sebalik pengumuman pemenang hadiah Nobel di kalangan saintis Barat, media mereka melaporkan indeks jenayah yang melanda kota besar dan masyarakat mereka. Setiap kali kejayaan teknologi nuklear Barat yang dicapai, maka kesekian lagi pula kita dengar penderitaan umat akibat kecanggihan teknologi peperangan yang membunuh manusia dan kemanusiaan. Setiap kali pencapaian mereka dalam teknologi perubatan, kejayaan ini diikuti pula dengan rekod jenayah bunuh diri yang menggerunkan. Umat Islam harus mengambil iktibar daripada sudut ini dalam memperkasakan umat secara bersepadu daripada aspek iman, ilmu dan akhlak.
Kejadian membunuh diri menjadi fenomena yang menakutkan seluruh dunia Barat, bahkan statistik menunjukkan indeks yang menular ke seluruh manyarakat dunia. Pertubuhan Kesihatan Dunia membuat kajian terhadap gejala pembunuhan diri sebagai masalah kronik yang semakin sukar dibendung. Mereka ingin mengkaji golongan yang manakah yang lebih mudah melakukan jenayah luar biasa itu. Dua orang pengkaji yang bernama Jose Bertolote dan Alexandra Fleichmann mengumpul data kes bunuh diri sejak 50 tahun yang lalu dan menghasilkan keputusan yang menakjubkan. Setiap 20 saat terdapat 1 kes bunuh diri berlaku. Setiap 2 saat ada satu percubaan membunuh diri dilaporkan. Data ini sungguh memeranjatkan pengkajinya sendiri. Mengikut simulasi data ini, pada tahun 2020 dijangkan 1.53 bilion nyawa hilang menerusi pembunuhan diri sendiri. Sepanjang 50 tahun yang lepas, dunia kehilangan jiwa menerusi kes bunuh diri sebanyak 27 orang setahun dalam setiap populasi 100,000 orang penduduk. Bilangan ini meningkat laju saban tahun.
Lebih memeranjatkan, kejadian bunuh diri bukan tertumpu kepada Negara yang miskin, bahkan data menunjukkan negara Eropah yang maju merekodkan bilangan kes bunuh diri yang paling tinggi di dunia khususnya negara blok Eropah timur. Mendahului senarai ini ialah Finland dan dikuti rapat oleh Estonia, Latvia, Lithuania, Hungary, dan Rusia. Kalau kita perhatikan Negara tersebut kebanyakannya menolak ketuhanan sama sekali serta mengamalkan pemikiran bebas yang dikenali sebagai free thinkers di Barat. Mereka memilih cara hidup tersendiri yang bebas nilai, bebas iman. Ketuhanan bagi mereka, hanyalah untuk golongan miskin dan lemah. Golongan maju dan kaya tidak memerlukan konsep ketuhanan. Akibat daripada fahaman ini, data satatistik kes pembunuhan diri merakamkan Negara tersebut mempunyai angka tertinggi dalam kes jenayah itu.
Ingatlah bahawa Islam mengharamkan bunuh diri. Jasad dan nyawa merupakan anugerah Ilahi kepada mansuia. Jasad dan nyawa bukan milik manusia. Manusia tidak berhak menamatkan riwayatnya sendiri. Ingatlah sabda Junjungan saw yang bermaksud:

“Sesiapa yang membunuh diri dengan besi maka besi itu akan menikamnya buat selama-lamanya dalam neraka kekal abadi, sesiapa yang meminum racun untuk membunuh diri maka dia meminum racun itu buat selama-lamanya dalam neraka, dan sesiapa yang terjun dari gunung untuk membunuh diri maka ia jatuh menjunam dalam neraka selama-samanya yang abadi” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Umat Islam yan benar-benar beriman tidak mungkin melakukan jenayah ini sebab balasan akhirat ialah neraka yang dahsyat. Azab neraka tidak dapat dibandingkan dengan sebarang keseksaan di atas dunia. Maka, umat Islam, walaubagaimana tinggi cabaran hidupnya, tidak mungkin melakukan pembunuhan diri sendiri. Ungkapan ini memang terbukti, apabila data yang ditunjukkan oleh umat Islam dalam kes ini sangat rendah berbanding dengan semua masyarakat dunia yang lain. Walaupun, rata-ratanya negara umat Islam miskin berbanding negara lain, tetapi kes bunuh diri yang dilaporkan oleh WHO hanyalah 0.1 kes dalam setiap 100,000 penduduk Islam berbanding kes yang sama yang dicatatkan di Finland misalnya yang menunjukkan 50 kes dalam setiap 100,000 bilangan penduduk.
Di Asia, Sri Lanka dan Mauritius memunjukkan peratus kes bunuh yang tertinggi. Namun China mencatatakan negara berbesar kes bunuh diri. Jika Negara China dan India dicantumkan maka kes bunuh diri dari kedua-dua negara mencapai 30% bilangan kes yang dilaporkan di dunia.
Apabila klasifikasi kes bunuh diri dikelaskan berdasar agama pula: penganut Budha yang paling tinggi melakukan kes bunuh diri, diikuti oleh penganut Kristian dan Hindu. Namun kes tertinggi dicatatkan oleh mereka yang tidak menganut sebarang agama.
Dari segi gender pula, lelaki lebih cenderung untuk untuk menamatkan riwayat sendiri berbanding wanita, manakala senjata api menjadi alat pembunuhan paling lumrah di dunia mengikut kajian tersebut.[16]
Antara punca kes bunuh diri ialah kegagalan mereka dalam usaha mencari kebahagiaan. Mereka menolak semua sistem nilai yang mengongkong mereka lalu menganut fahaman pemikiran bebas dan menyangka perbuatan itu menuju kea rah kebahagiaan. Mereka mencari kebahagiaan dalam dimensi fizikal namun kebagiaan tidak ditemui, kerana kebahagiaan tidak berada dalam dimensi itu. Kebahagiaan, sesungguhnya berada dalam dimensi rohani. Kebahagiaan berada dalam jiwa yang sejahtera. Kebahagiaan berada dalam hati yang penuh kesyukuran. Kebahagiaan berada dalam hati yang tunduk dan taat kepada Pencipta-nya. Kebahagiaan disangka berada dalam dimensi fizikal, namun anggapan itu salah, kerana kebagiaan ialah kesepaduan antara fizikal dan spiritual yang seimbang yang dibangun berdasar kemuliaan iman. Teknologi dan pembangunan fizikal semata-mata tidak menjamin kebahagiaan bahkan dalam banyak hal membawa kemusnahan seperti kes tenologi peperangan.
Hal ini terbukti apabila, data statistic menunjukkan bahawa kes kegelisahan, kegundahan melampau, keluh kesah dan hilang kebahagiaan dicatatkan oleh populasi yang tiada agama. Maka sesungguhnya umat Islam bebas daripada kemelut jiwa yang menjadi masalah kronik dunia moden, asalkan mereka menghayati Islam dengan tradisi keilmuan yang selengkapnya dalam semua aktiviti hidup manusia. Pembangunan kerohanian yang dibina menerusi ilmu yang mantap menolong umat Islam terhindar daripada malapetaka gejala ini. Akan tetapi, mampukah umat Islam bertahan tanpa ada pengisian jiwa secara berterusan menerusi agenda besar sedangkan apabila kita turut memerhatikan gejala tersebut mula menular ke negara umat Islam pada zaman kesejagatan teknologi hari ini. Indeks jenayah dalam masyarakat kita pun menunjukkan peningkatan yang mendadak. Penekanan kepada pembangunan fizikal semata-mata menjadikan umat Islam mudah terjerumus dalam kancah kejiwaan yang sama dengan masyarakat Barat.
Mari kita beralih kepada isu pendidikan akhlak menerusi hukuman fizikal sebagai pengajaran di kalangan masyarakat pula. Penggunaan rotan misalnya, dalam pendidikan moden di sekolah menjadi perdebatan hangat ahli pendidik kontemporari. Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang. Ibnu Khaldun sebagai ilmuwan dan ahli pendidik tamadun Islam, tidak menolak penggunaan rotan sebagai kaedah pentarbiahan yang digunakan terhadap golongan pelajar yang tertentu.
Walaupun ahli pendidikan Barat menentang penggunaan rotan dalam pendidikan namun England pernah menggunakan kaedah itu bagi golongan pelajar yang tidak boleh dibentuk peribadinya dengan nasihat yang lembut. Bahkan Barat turut membuka sekolah khas dengan deraan yang berat bagi golongan pelajar yang melakukan jenayah juvana. Namun apabila teori kauseling Barat yang menekankan penggunaan psikologi terhadap kaedah pendidikan maka terdapat dua kesan yang bertentangan dalam senario akhlak pelajar. Pelajar yang memang berdisiplin dangan mudah digunakan kaedah psikologi tanpa penggunaan deraan fizikal. Namun ada golongan lain yang memang tidak dapat dibentuk peribadinya sekadar menggunakan nasihat, maka golongan ini tidak boleh digunakan kaedah yang lembut seperti golongan yang tadi.
Dalam kes ini, Ibn Khaldun menyebut bahawa deraan rotan bagi pelajar yang di luar kawalan nasihat, harus dilakukan tidak melebihi dua kali sebatan. Sebatan itu pula bukan untuk menyakitnya, tetapi sebagai pengajaran dan kaedah cegahan sebelum pelajar itu bertindak satu langkah lagi ke arah jenayah yang lebih berat. Ini ialah langkah pencegahan.
Di Rusia, para pendidik mereka gagal menangani pelajar yang melakukan kesaalahan jenayah melampau termasuk ketagihan arak, mencuri, samseng, gangsterisme serta penyebaran penyakit melalui aktiviti seks bebas.
Satu kumpulan penyelidik cuba mencari rawatan tentang ketagihan alcohol dan kegundahan melampau. Ketua kumpulan saintis tersebut, Dr Sargei Speransky menemui kaedah baru mengatasi masalah tersebut dengan sebatan berkali-kali pesakit yang terlibat. Kelihatannya kaedah ini agak ganas, tetapi itulah kaedah yang paling berkesan mengikut ketua penyelidik itu.[17]
Ini, menurutnya, dengan sebatan di punggung, sejenis hormone akan dikeluarkan oleh badan manusia yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan alkoholik. Endorpin yang merupakan bahan kimia semula jadi badan manusia didapati mudah dirembes keluar apabila sebatan punggung dilakukan berkali-kali. Bahan kimia ini dikenali sebagai kimia ceria atau happy chemicals yang bertindak menceriakan pesakit tersebut daripada kegundahan. Bahan kimia itu turut menghilangkan rasa ketagihan arak atau rokok.
Sebatan juga, mengikut pasukan penyelidikan itu, berjaya menyembuh ketagihan mencuri bagi sesetengah pelajar. Dalam sesetengah hal, mencuri barangan di supermarket menjadi ketagihan golongan tersebut. Ini juga boleh disembuhkan dengan sebatan tertentu.
HIV turut dirawat dengan sebatan dan kini klinik yang memberi rawatan dibuka secara meluas di Negara tersebut. Dr Marina Chuhrova yang menjadi ahli penyelidik kumpulan itu menyatakan bahawa beliau sendiri melakukan rawatan kepada 10 pesakit ketagihan itu dengan sebatan dan permintaan semakin tinggi selepas mereka melihat rawatan kaedah sebatan itu sangat berjaya. Pesakit menjadi lebih gembira selepas tamat rawatan walaupun pada awalnya mereka teragak-agak mencubanya. Sekitar US100 bayaran dikenakan untuk setiap pakej rawatan. Hasilnya memberansangkan.
Marilah kita imbasi kembali hadith saw yang menyebut bahawa apabila anak kamu mencapai 7 tahun, suruhlah solat, dan pukullah mereka apabila mencapai 10 tahun apabila mereka enggan melakukannya.
Sesungguhnya kaedah merotan merupakan satu daripada kaedah pendidikan selain nasihat dan kaunseling. Kaedah ini ada hikmahnya tersendiri yang merupakan petunjuk Ilahi menerusi hadith saw yang mulia. Hikmahnya secara saintifik hanya diketahui manusia hari ini.
Rahsia hikmah dan keindahan hukum yang ditentukan Ilahi tidak dapat dirasakan oleh umat Islam tanpa keimanan dan tradisi keilmuan yang mendalam, sehinggakan hikmah yang tersirat dalam syariat Islam pun, umat Islam menunggu masyarakat bukan-Islam menunjukkan kepada mereka.
Mari kita beralih kepada satu sudut peristiwa yang lain lagi. Dr Rowan Williams Uskup Besar Canterbury England yang merupakan tokoh besar Kristian Eropah membuat satu kejutan ketika beliau diwawancara Oleh BBC awal Februari 2008.[18] Beliau menyatakan United Kingdom perlu mempertimbangkan syariah Islam untuk dilaksanakan. Menurutnya, ”..the adoption of some Sharia Law in tha UK is unavoidable...adopting parts of Islamic Sharia Law could help social cohesion”. Dalam wawancara tersebut, beliau tidak menghuraikan alasan yang terperinci tentang cadangannya agar syariah Islam diperkenalkan di bumi tersebut. Namun kita tahu, perkataan itu bukan keluar dari mulutnya secara spontan tetapi setelah kajianya yang mendalam tentang peranan Islam dalam hubungan antara kaum sepanjang sejarah yang memperlihatkan toleransi umat Islam yang tiada taranya dalam sejarah dunia.
Seseorang pengkaji yang ikhlas akan mengiktiraf sejarah toleransi umat Islam sepanjang zaman, khususnya seperti yang ditunjukkan pemimpin Islam Andalusia sejak kemasukan Tariq bin Ziad ke Sepanyol. Islam membawa ilmu dan tamadun ke Sepanyol. Islam mengatur kehidupan yang harmoni di kalangan masyarakat majmuk yang terdiri daripada Kritian, Yahudi dan Islam. Pemimpin Islam menunjukkan jaminan soasial yang adil terhadap setiap unit masyarakat majmuk itu. Sepanyol menyebarkan budaya ilmu ke seluruh Eropah. Universiti Islam di Sepanyol terbuka kepada seluruh penduduk Eropah. Pelajar Eropah dari setiap penjuru datang ke Sepanyol untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang. Sepanyol menjadi pintu masuk peradaban keilmuan Eropah selama 700 tahun lamanya yang menjadi sebab berlakunya zaman kecerahan Eropah menjelang kurun ke-16. Inilah sejarah yang tertulis dengan tinta emas dalam peradaban dunia. Shariah Islam memberikan keadilan kepada seluruh penduduk Andalusia yang majmuk.
Sejarah keilmuan dan tamadun yang dibawa oleh Kerajaan Uthmaniyyah yang bertapak di Turki menunjukan toleransi yang serupa. Turki menerima pelarian orang Yahudi dari bumi Andalusia pada kurun ke-15 setelah Ferdinand dan Isabela menguasai bumi tersebut. Dalam peristiwa itu, jutaan umat Islam dibunuh di bumi Sepanyol. Orang Yahudi turut menerima nasib yang sama, dan kumpulan yang terselamat melarikan diri ke Turki lalu diberi perlindungan oleh khalifah Uthamaniyyah. Barangkali itulah sejarah yang dikenangi kembali oleh Uskup Besar Canterbury yang tersebut.
Uskup Besar tiba-tiba teringatkan peranan yang pernah dimainkan Islam dan sistem pentadbiran Islam yang merubah masyarakat Eropah dari zaman kegelapan ke zaman kecerahan mereka, ketika umat Islam sendiri telah lupa kepada jati diri mereka sendiri. Pandangan aneh Uskup diterima masyarakat England khususnya dan Eropah umumnya dengan kecaman dan kritikan terbuka, sebab umat Islam dilabelkan oleh ahli politik Barat sebagai ganas dan tidak bertamadun. Suara ikhlas Uskup yang berdasar kajiannya tentang dialog antara Islam-Kristian, dicabar oleh pemimpin besar mereka seperti Gordon Bown, Perdana Menteri, Tony MacNulty Menteri Dalam Negeri dan Stephen Lowe, Uskup Hulme. Kesemua tokoh ini memberi respons yang sama, bahawa pendapat Uskup Besar itu merbahaya kepada perpaduan masyarakat. Akan tetapi Uskup Besar berhujah bahawa memaksa umat Islam mengikut perundangan yang sama pun bahaya juga.[19] Mereka harus diberi kebebasan memilih. Penentangan terhadap cadangan perlaksanaan Syariah Islam di England bukan sahaja ditentang oleh masyarakat dan pemimpin Kristian Eropah, tetapi pemimpin umat Islam England turut menentang dengan nada tersendiri. Sebagai contoh, Dilwar Husain tokoh Islamic Foundation Eropah menyatakan masyarakat Islam sangat selesa berada di bawah Undang-Undang British yang sekular. Menurutnya: “Most Muslims are perfectly happy with the legal as it exists in UK. They support it. It protects them, it includes provisions for Halal Food and for the bank service. In other words, some of the most important things that concerns people are already in the system. We are not seeking the introduction of a new system - absolutely not”.
Kadang-kadang keindahan Islam yang dapat dilihat oleh orang bukan-Islam tidak dapat dilihat oleh umat Islam sendiri. Fenomenon ini bukan sahaja berlaku di Eropah tetapi merupakan senario biasa dalam negara umat Islam. Yang menentang pentadbiran Islam yang syumul bukan sahaja datang daripada masyarakat bukan-Islam bahkan datang dari umat Islam yang telah hilang jati dirinya. Mereka tidak dapat melihat kebenaran itu sebagai perkara yang benar, dan mereka juga tidak dapat melihat kepalsuan itu sebagai perkara yang palsu. Dalam suasana seperti ini, mampukah umat Islam mengembalikan semula kecemerlangan budaya ilmu seperti kecemerlangan puncak peradabannya? Marilah kita berdoa agar dapat melihat kebenaran itu benar, dan kepalsuan itu palsu. Persoalan ini berkait pula dengan ilmu, amalan, keikhlasan dan hidayat Ilahi. Saya tinggalkan persoalan ini untuk direnungi bersama.
[1] Ihya Ulumiddin, hal.36.
[2] Ihya Ulumiddin, hal..37-40.
[3] Kisah ini dinukilkan oleh Ibn al-Qitfi dalam karyanya Tarikh al-Hukama’.
[4] A`lam al-Fiziya fi al-Islam hal 274.
[5] Ibn Batutah menyebut Bandar Sumatrah di negeri Jawa, bermaksud Aceh di Sumatera. Jawa di sisi Ibn Batutah merujuk kepada Alam Melayu keseluruhannya.
[6] lihat Haji Abdullah Ishak, 1992; 132-133
[7] Lihat Syed Naquib al-Attas The oldest known Malay manuscripts: A 16th century Malay translation of the ’Aqa’id al-Nasafi University of Malaya, 1988. Teks asal al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah boleh dilihat dalam koleksi secara “bergantung makna Melayu yang bermaksud terjemahan disertakan di bawah setiap baris teks asalnya.
[8] Lihat Abdul Rahman Hj. Abdullah Gerakan Islah di Perlis Penerbitan Pena, 1989, hal.1-2
[9] Jundullah hal.81.
[10] Jundullah hal. 96.
[11] Express on Sunday 4 Januari 2004; Evening Standart UK, 23 April 2004. Maksudnya: ”Apa yang orang Arab fikir perasaan kita terhadap mereka. Bahawa kita kagum dengan sikap mereka yang menjadi pengebom berani mati, pemotong kaki dan tangan, penindas wanita”.
[12] Dikenali juga dengan k-ekonomi.
[13] Kacukan ini dikenali sebagai selembu, gabungan seladang dan lembu. Kacukan puyuh dan ayam pula digelar puyam.
[14] Dalam sistem kapitalisme liberalisme, ahli perniagaan Yahudi memperkenalkan konsep interest apabila berurusan urusniaga dengan bukan-Yahudi tetapi mengharamkan interest sesama peniaga Yahudi. Seperti Islam, agama Judaisme turut mengharamkan riba’ atau faedah interest.
[15] Dalam saingan ekonomi kapitalisme, apabila supermarket dan hipermarket diwujudkan dalam sesuatu kawasan, maka peruncit kecil akan kalah seperti kancil akan kalah apabila wujud pemangsanya singa di Afrika.
[16] Para pembaca yang berminat tentang penyelidikan ini silalah rujuk jurnal Suicidologi 2002, jilid 7, bilangan 2 dalam makalah yang bertajuk A global perspective in epidemiology of suicide.
[17] Berita ini dipetik oleh Yahoo News bertarikh 30 Mac 2005 dengan tajuk Canning can cure everything from drug addiction to depression.
[18] Wawancara dilakukan oleh Christopher Landau melalui Radio 4 BBC pada 7 Februari 2008
[19] “What we don’t want either, is I think a stand-off where the law squares up to people’s religious consciences” ujar Uskup Besar Dr Rowan Williams

No comments:

Post a Comment